Home Politik Edar Jalur Gemilang bukan isu politik – Zahidi

Edar Jalur Gemilang bukan isu politik – Zahidi

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz (dua kanan) pada Program Makan Tengahari Bersama Penduduk sempena kempen sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di Dewan Serbaguna Kuala Slim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Tindakan Jabatan Penerangan Malaysia mengedar Jalur Gemilang kepada orang ramai di sini tidak sepatutnya dipolitikkan, kata Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia menegaskan, sudah menjadi peranan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menerapkan semangat patriotik dan cintakan negara menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Itu adalah tugas kementerian jadi kalau ada apa-apa program Jabatan Penerangan melibatkan bendera dan sebagainya tidak sepatutnya jadi isu politik kerana ini adalah usaha untuk kita menerapkan semangat kemerdekaan dan patriotik.

“Kita meneruskan usaha ini di seluruh negara menerusi Program Info On Wheels tidak mengira masa, jadi orang yang menjadikannya isu tidak mempunyai semangat patriotik,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa Jabatan Penerangan menjadi alat politik Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin bercakap kepada media pada Program Makan Tengahari Bersama Penduduk sempena kempen sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di Dewan Serbaguna Kuala Slim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2020

Dalam pada itu, Zahidi berpuas hati dengan liputan media pada PRK DUN Slim yang memasuki hari ke-11 kempen hari ini dengan calon-calon bertanding mendapat liputan yang adil.

“Liputan pada PRK ini juga terbaik dan harap rakyat dapat membuat keputusan terbaik (semasa mengundi). Kita jangka (BN) boleh menang sebab rakyat sudah tidak percaya kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian dalam perancangan menyediakan infrastruktur dan menambah baik liputan perkhidmatan telekomunikasi daripada 3G kepada 4G di perkampungan Orang Asli di DUN itu.

PRK DUN Slim pada Sabtu ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd. Zaidi dan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan bekas guru, S. Santharasakaran. – MalaysiaGazette