Home Nasional Galak berniaga tapi bukan bermaksud boleh langgar undang-undang – Annuar

Galak berniaga tapi bukan bermaksud boleh langgar undang-undang – Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa diiringi timbalannya, Datuk Seri Dr Shanthara Kumar (kiri) melakukan gimik Pelancaran Penjenamaan Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Prihatin pada Sesi Townhall di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 25 OGOS 2020

PUTRAJAYA – Mana-mana warga kota yang ingin menjalankan perniagaan termasuk penjualan arak dan premis perjudian perlu mematuhi undang-undang dan peraturan kecil yang telah ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun beliau sendiri kerap turun padang untuk menggalakkan warga kota berniaga, namun ia tidak bermaksud mereka terlepas daripada tindakan jika melanggar undang-undang.

“Proses menguatkuasakan undang-undang itu kena berjalan sepanjang masa, bukan soal judi tapi apa saja termasuk penjaja.

“Tak boleh kata menteri bagi berniaga kenapa penguatkuasa datang tangkap, itu tak boleh, penguatkuasaan kena berjalan.

“Kalau semua dalam negara kita tak patuh undang-undang, pentadbiran akan kacau-bilau. Yang nak jual arak, hidup kena berperaturan,” katanya dalam sidang media di Menara Seri Wilayah, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan mesej yang ingin disampaikan kepada warga kota sebenarnya bukan menggalakkan berniaga secara bebas tanpa sekatan undang-undang.

“Mesej yang saya nak sampaikan, orang yang nak bekerja saya akan bantu, tapi tidak ada kompromi soal melanggar peraturan, undang-undang, berniaga tanpa lesen, berniaga di tempat yang tidak dibenarkan dan sebagainya tak boleh.

“Kita kena uruskan bandar raya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan cara yang baik,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu penjualan arak dan premis perjudian bukan soal fatwa sebaliknya penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal semua aktiviti itu.

“Macam orang nak jual arak, kita kena memperkemaskan jualan, tak boleh jual bebas, takkan kedai runcit nak jual arak, England pun tak buat macam itu.

“Kalau jual arak pun takkan sampai 24 jam sampai waktu subuh pagi lewat malam.

“Jadi ada kaitan dengan soal penguatkuasaan, soal kerja polis, bukan soal orang yang nak beli dan minum saja, ada banyak kaitan lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette