Home Nasional Kerajaan teliti harga pelitup muka kanak-kanak – Alexander

Kerajaan teliti harga pelitup muka kanak-kanak – Alexander

kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan para pengusaha kilang pembuat pelitup muka mengenai harga bagi pelitup muka kanak-kanak.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan para pengusaha kilang pembuat pelitup muka mengenai harga bagi pelitup muka kanak-kanak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu difikirkan wajar kerana saiz bagi pelitup muka kanak-kanak jauh lebih kecil daripada pelitup muka dewasa.

“Kami masih berunding berterusan dengan pemain industri untuk sampai satu tahap persetujuan melihat kepada harga pelitup muka kanak-kanak,” katanya ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya lagi, pengilang sebelum ini menjual produk itu pada harga sama bagi pelitup muka kanak-kanak dan juga dewasa.

Alexander berkata, pengilang beralasan bahawa faktor saiz tidak diambil kira dalam proses pengeluaran pelitup muka bagi kedua-dua kategori itu.

“Untuk kanak-kanak, harga yang sama walaupun ukuran kecil seperti yang digunakan oleh dewasa tapi di peringkat pengilang tidak dikira begitu.

“Saiz untuk kanak-kanak tidak jauh beza daripada dewasa, kami dapati selepas buat kajian tidak dapat dikurangkan mengikut saiz begitu saja dan ia perlu harga yang sama untuk kanak-kanak,” katanya lagi.

Untuk rekod, jumlah pengeluaran pelitup muka hang dikeluarkan dalam sehari adalah pada paras 1.5 juta.

Ia dikeluarkan oleh 10 pemain industri.

Oleh yang demikian, empat lagi kilang pemprosesan pelitup muka akan beroperasi Oktober depan bagi memenuhi permintaan harian rakyat Malaysia.

Nanta pada 11 Ogos lalu berkata harga pelitup muka akan dijual pada kadar lebih rendah iaitu RM1 sekeping di peringkat runcit manakala 95 sen di peringkat pemborong.

Ia adalah sebahagian daripada pendekatan untuk membantu rakyat, khususnya ibu bapa yang perlu membekalkan pelitup muka untuk anak-anak ke sekolah.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak dan pengangkutan awam mulai 1 Ogos lalu. – MalaysiaGazette