Home Politik PRK Slim: Proses undi awal lancar, tenang

PRK Slim: Proses undi awal lancar, tenang

Pengamal media yang hadir untuk membuat liputan pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2020

SLIM RIVER – Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Balai Polis Daerah Muallim berjalan lancar dan aman.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supritendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah mengambil langkah awal dengan menasihati para pengundi agar tidak keluar mengundi secara serentak.

Jelas beliau, ia bagi mengelakkan kesesakan dalam usaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik Covid-19.

“Walaupun tidak sesak, penjarakan fizikal tetap berlaku. Kita mahu mengamalkan norma-norma baharu yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara dalam PRK ini.

“Undi awal hari ini menyaksikan seramai 267 anggota dan pegawai polis yang bermula pukul 8 pagi tadi sebelum ditutup pukul 5.30 petang.

“Jadi saya menyeru kepada semua anggota dan pegawai saya yang layak mengundi hadir menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh (tengah) ketika tiba untuk meninjau proses mengundi awal pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2020

Pusat mengundi di Balai Polis Daerah Muallim dibuka oleh SPR tepat pukul 8 pagi  melibatkan seramai 267 anggota dan pegawai polis sebagai pengundi awal.

Mereka diwajibkan memakai pelitup muka serta menggunakan pencuci pembasmi kuman sebelum dibenarkan mengundi.

Mereka juga diwajibkan menjalani saringan suhu sebelum dibenarkan memasuki pusat mengundi dan diberikan kertas undi awal.

Turut hadir meninjau suasana, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid dan Ketua Polis Daerah Muallim, Supritendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Untuk rekod, PRK DUN Slim mencatat sejarah tersendiri kerana yang kedua diadakan selepas Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara termasuk dalam PKPP akibat pandemik Covid-19.

Sebahagian anggota polis menunjukkan jari berdakwat kekal selepas membuang undi pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2020

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

BN mengemukakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd. Zaidi Aziz yang berdepan calon Bebas mewakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air iaitu seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran.

DUN Slim memiliki seramai 23,094 pengundi berdaftar termasuk pengundi awal seramai 267 orang hari ini. – MalaysiaGazette