KUALA LUMPUR – Pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalakkan untuk mengambil manfaat daripada kemudahan geran padanan pendigitalan sebagai salah satu inisiatif bagi membantu memudahkan aliran tunai dan meneruskan perniagaan mereka dalam menghadapi keadaan mencabar ketika ini.
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, pandemik yang dihadapi oleh dunia ketika ini sememangnya memberi impak kepada PKS, justeru itu, geran padanan pendigitalan ini merupakan satu peluang yang harus dimaksimumkan oleh PKS bagi mempertingkatkan operasi dan produktiviti perniagaan mereka.
Menurutnya, bagi yang masih beroperasi dengan cara biasa, peluang ini harus diraih untuk memastikan perniagaan dijalankan dapat kekal mampan dalam menghadapi cabaran pandemik dan ekonomi yang melanda ketika ini.
Dilancarkan pada 17 Februari lalu, bantuan geran padanan ini bertujuan untuk memantapkan penggunaan aplikasi digital dalam operasi perniagaan pengusaha PKS bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mempersiap siaga pelaksanaan ke arah pendigitalan ekonomi Malaysia.
BSN, selaku peneraju utama dengan kolaborasi bersama Kumpulan SME Bank dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyediakan sebanyak 50 peratus geran padanan dengan jumlah sehingga RM5,000 setiap syarikat untuk melanggan perkhidmatan pendigitalan bagi operasi syarikat PKS.
Menurutnya, geran padanan ini berjumlah RM500 juta untuk tempoh selama lima tahun dan dihadkan kepada 100,000 PKS pertama yang memohon untuk menaik taraf sistem mereka.
”Dalam memastikan negara kita berjaya menghadapi krisis yang melanda dunia kala ini, kerajaan masih komited menyediakan kemudahan untuk terus memperkasa PKS agar mereka kekal berdaya saing dan seterusnya berjaya mengharungi cabaran ini,” tambah Yunos.
Geran ini terhad untuk satu permohonan sahaja bagi setiap PKS dan dibenarkan untuk memohon sehingga tiga jenis perkhidmatan pendigitalan dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan pendigitalan yang berdaftar dengan MDEC.
Katanya, geran padanan pendigitalan kini telah diperluaskan dengan penambahan dua bidang digitalisasi baharu iaitu E-Dagang (E-Commerce) dan Kerja Jarak Jauh, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan pendigitalan yang ditawarkan adalah sebanyak tujuh bidang.
Sebelum ini, usahawan PKS boleh mendapatkan perkhidmatan pendigitalan melibatkan Sistem Electronic Point of Sale (e-POS), Sistem Penggajian Sumber Manusia, Pemasaran Digital, Perolehan dan Enterprise Resource Planning (ERP)/ Perakaunan & Cukai.
Usahawan-usahawan PKS yang berminat untuk mendapatkan geran padanan hanya perlu melantik ‘Penyedia Penyelesaian Teknologi’.
Selain itu, para usahawan juga perlu melengkapkan dan menyerahkan borang permohonan mereka berserta dokumen sokongan kepada bank untuk diproses, membuat bayaran kepada TSP yang dipilih, menyerahkan resit bayaran kepada BSN ataupun SME Bank/
BSN akan membayar jumlah baki kepada TSP tersebut. Penyerahan borang permohonan serta dokumen-dokumen sokongan boleh dihantar secara e-mel kepada mana-mana cawangan BSN di negeri PKS beroperasi. – MalaysiaGazette