Home Dunia Tunjuk perasaan selepas lelaki kulit hitam ditembak

Tunjuk perasaan selepas lelaki kulit hitam ditembak

Polis melepaskan pemedih mata selepas penunjuk perasaan melemparkan botol. -foto Agensi

WISCONSIN – Pertempuran berlaku untuk malam kedua berlaku di sini dengan api dilemparkan pada bangunan dan kereta  susulan seorang lelaki kulit hitam ditembak polis Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, Jacob Blake, 29, dilaporkan dalam keadaan stabil selepas ditembak beberapa kali ketika sedang membuka pintu keretanya di bandar Kenosha.

Protes yang berlaku itu bukan sahaja mendorong Gabenor Tony Evers meminta bantuan Pengawal Kebangsaan malah mengarahkan perintah berkurung turut mulai jam 8 malam hingga 7 pagi.

Namun, arahan itu telah ditentang oleh penunjuk perasaan.

Dalam siaran media, Gabenor Evers mengatakan “mobilisasi terhad” oleh Pengawal Nasional yang dibuat atas permintaan polis untuk membantu penguat kuasa bagi melindungi infrastruktur kritikal dan memastikan orang ramai dapat membuat demonstrasi dengan selamat.

“Setiap orang harus dapat meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka dengan menggunakan hak Pindaan Pertama mereka dan bertindak tanpa takut disebabkan rasa tidak selamat,” katanya.

Ratusan penunjuk perasaan memulakan perarakan secara aman kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan pada petang Isnin tetapi gas pemedih mata dilepaskan setelah botol air dilemparkan kepada polis.

Menjelang pukul 11 malam, beberapa bangunan terbakar, bersama sejumlah kereta, menurut laporan media.

Laporan menunjukkan sehingga 200 anggota Pengawal Nasional telah dikerahkan mengadakan kawalan. – MalaysiaGazette