Home Ekonomi Ekuinas lupus 100% pegangan dalam Primabaguz

Ekuinas lupus 100% pegangan dalam Primabaguz

Ketua Pegawai Eksekutif EKUINAS, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir bercakap pada sidang media pembentangan laporan tahun 2015 Ekuinas di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 28 APRIL 2016

KUALA LUMPUR – Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melupuskan 100% ekuitinya dalam Primabaguz Sdn Bhd (PrimaBaguz) kepada Johnsonville International LLC (Johnsonville) berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM175 juta.

Primabaguz adalah syarikat peneraju pembuatan produk berasaskan daging halal premium seperti, sosej, potongan daging, bebola daging, daging burger, sup dan sos.

Pemilikan strategik PrimaBaguz akan membolehkan Johnsonville mencapai cita-citanya untuk meneroka hab makanan halal di dalam rantau ini.

Syarikat tersebut bekerjasama dan membekalkan kepada pemain industri tempatan dan antarabangsa, khususnya di dalam segmen restoran khidmat pantas (QSR) dan hotel, restoran dan syarikat katering (HORECA), dan juga pemborong.

Kini, PrimaBaguz menghasilkan lebih daripada 100 produk dan menawarkan kepada lebih 15 jenama di Malaysia dan 10 negara lain.

Johnsonville ialah salah satu syarikat pemprosesan daging terkemuka di Amerika Syarikat dengan produk peneraju pasaran untuk hidangan sarapan, makan malam dan kudapan.

Syarikat tersebut menghasilkan produk seperti, sosej, bebola daging dan barangan protein yang lain untuk runcit, borong dan pasaran perkhidmatan makanan.

Ia ditubuhkan pada tahun 1945, syarikat ini ialah salah satu pembekal daging yang dipercayai di Amerika Utara dan
produk mereka boleh didapati di lebih 50 negara.

Johnsonville dipilih setelah mengemukakan tawaran terbaik dan adalah syarikat yang paling sesuai melalui proses penjualan yang telah menarik minat pelbagai pihak tempatan dan antarabangsa.

Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas berkata, pelan penciptaan nilai (VCP) Ekuinas untuk PrimaBaguz telah menjana pertumbuhan pendapatan sebanyak 75.0% sejak penglibatan kami pada tahun 2013, khususnya didorong oleh peningkatan dalam kapasiti pembuatan dan rangkaian produknya.

Inisiatif-inisiatif dalam pelan penciptaan nilai merangkumi penambahbaikan kapasiti dan peningkatan operasi, mempelbagaikan rantaian pembuatan produk bagi memenuhi penyesuaian produk untuk klien yang berbeza, hubungan strategik pembekal dengan rangkaian restoran makanan segera
yang terkenal, dan juga memperkuatkan pihak pengurusan.

Dengan penambahbaikan ini, membolehkan PrimaBaguz memasuki segmen berbeza dalam industri dan memenuhi
permintaan tempatan dan serantau, kata Syed Yasir Arafat menambah.

Pelupusan ini telah menarik perhatian pelaburan langsung asing yang signifikan dan menjana Kadar Pulangan Dalaman (IRR) Kasar sebanyak 22.1% dan 3.8 kali modal dilaburkan, yang
merupakan sebahagian daripada strategi portfolio berhemat Ekuinas sejajar dengan keadaan pasaran semasa.

Ini akan membawa jumlah terealisasi Ekuinas kepada RM3.1 billion. – MalaysiaGazette