
KUALA LUMPUR – Polis menangguhkan proses mengambil keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kepada hari esok (Khamis).
Perkara itu dimaklumkan oleh wakil dari Unit Komunikasi Korporat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kepada pengamal media yang berkumpul di luar bangunan berkenaan sejak tengah hari tadi.
“D5 (Unit Siasatan Jenayah Terkelas) maklumkan sebentar tadi bahawa proses merakam keterangan ditunda kepada esok tapi tidak tahu pukul berapa,” katanya tanpa memaklumkan sebab ia ditunda.

Semalam Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap menteri berkenaan.
Khairuddin didakwa gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.
Pendedahan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Beliau telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan telah menjelaskannya.
Khairuddin sepatutnya hadir ke Bukit Aman petang ini untuk memberi keterangan. – MalaysiaGazette