KUALA LUMPUR – Isu rundingan terus Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih lagi disentuh hari ini.
Dalam sesi soal jawab hari ini, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bingkas bangun bertanyakan sama ada kerajaan akan mendedahkan pemilik kepada 101 projek rundingan terus yang didedahkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Isnin lalu.
Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri memberitahu Dewan Rakyat bahawa kaedah rundingan terus dibolehkan dalam Kementerian Kewangan bagi keadaan tertentu dan menepati beberapa kriteria.
“Rundingan terus sebenarnya pada pandangan saya adalah sesuatu yang memang diberikan dalam kaedah perolehan, cumanya PH telah memasukkan dalam manifesto mereka untuk memastikan tidak ada runding terus lagi,” katanya di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Abd Rahim mempersoalkan dasar CAT (Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan) yang dilaung-laungkan oleh DAP selama ini.
“Mereka mencanangkan kononnya mengamalkan CAT tetapi nampak dalam isu ini tidak kelihatan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Abd Rahim menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhil Shaari yang ingin tahu status terkini Tabung Harapan dan ke mana wang itu dibelanjakan.
Semalam, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencabar Tengku Zafrul untuk mendedahkan senarai penuh penerima projek yang didakwa dibuat secara rundingan terus itu.
Cabaran itu dibuat selepas Tengku Zafrul mendedahkan pentadbiran kerajaan yang diterajui PH selama 22 bulan telah meluluskan 101 projek bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.- MalaysiaGazette
bukan salah pada undang2. tapi salah pada janji manifesto. sebagai contoh pengusaha restoran menbuat kenduri kahwin anak nya. dia cakap hari ini tak ada jualan makanan. tapi bila para tetamu hulur duit dia tetap kaut masuk poket. memang lah bukan jual sebab tak ada pulang balik duit lebih. tapi bayaran nya melebihi harga yang dimakan.
PN lebih bijak dlm soal ni, ..tak perlu ada manifesto supya rakyt tak boleh persalahkn mereka jika berlaku penyelewengn..norma baru politik melayu.