SLIM RIVER – Kemunculan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mencuri tumpuan apabila beliau hanya boleh menjadi moderator pada Majlis Taqarrub di Dataran Felda Gunung Besout 4 di sini malam tadi.
Beliau pada mulanya menawarkan diri sebagai pembaca doa selepas individu yang dipanggil untuk membaca doa pada majlis tersebut tidak memunculkan diri.
Kemudian, pengacara majlis menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu menyampaikan ucapan sebagai penceramah.
Zambry dilihat berbual dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut hadir pada majlis tersebut bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz.
Mohamad yang kemudiannya dijemput menyampaikan ucapan bangun memperkenalkan Zambry sebagai moderator ceramah pada malam tersebut.
“Saya jemput adinda saya Dr Zambry sebagai moderator malam ini (malam tadi). Dia tak boleh ceramah sebab tak ada permit. Jadi moderator boleh,” katanya tersenyum.
Zambry kemudiannya memperkenalkan Mohamad dan bercerita tentang pengalaman bersama bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu ketika menjadi Menteri Besar Perak.
Selepas itu, Mohamad memberi ceramah kepada penduduk yang hadir hingga mengambil waktu yang lama memandangkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dijadualkan menyampaikan ceramah masih belum tiba.
“Saya pun tidak tahu hendak ceramah apa lagi sebab penceramah yang seorang lagi masih dalam perjalanan. Saya ini bukan jenis banyak bercakap tetapi lebih suka buat kerja,” katanya tersenyum.
Bagaimanapun, sejurus tiba kira-kira jam 11 malam, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian juga tidak boleh menyampaikan ceramah kerana tidak mendapat permit.
Zambry kemudiannya tetap meminta Ahmad memberikan kata aluan diikuti tiga rangkap pantun sambil disambut tawa orang ramai yang hadir. – MalaysiaGazette