Home Sukan Sokong Liga Malaysia menerusi media sosial

Sokong Liga Malaysia menerusi media sosial

Mohamad Fauzi Abdul Manaf.

KUALA LUMPUR – Penyokong bola sepak Pahang, Mohamad Fauzi Abdul Manaf menyifatkan medium laman sosial sangat penting ketika ini dalam menunjukkan sokongan berterusan kepada pasukan kesayangan apabila penonton masih belum mendapat ‘lampu hijau’ untuk hadir ke stadium menjelang saingan Liga Malaysia yang bakal bermula, Jumaat ini.

Saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier akan kembali secara rasmi pada 28 Ogos ini selepas lebih lima bulan ditangguhkan gara-gara pandemik Covid-19 dan semestinya ia menjadi satu kegembiraan buat semua pasukan untuk beraksi semula.

Namun, penyokong nampaknya perlu menanti penuh sabar kerana mereka masih tidak dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan di stadium atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak sebarang risiko penularan COVID-19.

Jelas Fauzi, sebagai penyokong sejati pasukan Pahang, dia merasakan perkara itu tidak akan jadi penghalang untuknya terus memberikan sokongan buat barisan pemain kerana masih ada alternatif lain untuk menyaksikan perlawanan khususnya menerusi saluran Unifi TV selain sentiasa mengikuti perkembangan semasa pasukan dalam media sosial.

“Perkara ini kita tidak boleh nak cakap apa ah sebab masing-masing kena faham situasi yang berlaku dan seeloknya adalah perlawanan berlangsung tanpa penonton di stadium kerana kita risau apa-apa yang buruk berlaku.

“Tetapi, kita sebagai penyokong boleh menzahirkan sokongan di alam maya, menerusi komen-komen positif, kata-kata semangat dan sebagainya di laman sosial yang ada kerana kita juga ada pelbagai laman media sosial penyokong sekarang ini.

“Antara lain, kita boleh melanggan Unifi TV untuk tengok perlawanan secara langsung, apalah sangat kita keluarkan sedikit wang untuk tengok perlawanan dalam applikasi, yang penting masih boleh tengok ramai-ramai dengan kawan-kawan lain juga.

“Paling utama, saya nak pemain dan jurulatih tahu, kami sebagai penyokong sentiasa ada di belakang mereka tidak kira di stadium atau di luar stadium,” katanya kepada Malaysian Football League.

Mohd Faizal Wahid.

Seorang lagi penyokong yang juga merupakan Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid memuji usaha keras Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang sentiasa berkongsi perkembangan semasa pasukan di laman web rasmi mereka sekali gus memastikan penyokong sentiasa dekat dengan pasukan walaupun kali ini tidak dapat hadir ke stadium.

Sama seperti hasrat penyokong lain, Faizal ingin saingan Liga Malaysia yang akan bermula Jumaat ini berjalan dengan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sambil berharap keadaan akan beransur pulih untuk penonton akhirnya mendapat lampu hijau ke stadium.

“Sekarang memang cara untuk tengok perlawanan adalah menerusi applikasi Unifi TV dan dalam masa yang sama, laman sosial pasukan itu sendiri sangat penting untuk penyokong sentiasa tahu perkembangan mereka.

“Macam laman web rasmi FAS, macam-macam yang mereka kongsikan, contohnya sebelum ini aksi persahabatan mereka juga disiarkan secara langsung di laman Facebook.

“Sekarang, kita guna apa sahaja medium dan platform yang ada, dan berharap kami dapat kembali semula ke stadium, mungkin MKN boleh memperketatkan jumlah penyokong untuk hadir ke stadium dan mengikut SOP yang sepatutnya selepas ini”, jelasnya.

Terdahulu, dua perlawanan tertunda telah berlangsung pada Sabtu lalu membabitkan pasukan PJ City FC dan Terengganu FC dalam aksi CIMB Liga Super serta UKM FC dan Kelantan bagi Liga Premier. – MalaysiaGazette