Home Nasional MAHA 2020 hanya empat hari

MAHA 2020 hanya empat hari

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bergambar kenangan dengan timbalannya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (dua kiri) serta yang lain pada Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2020 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2020 akan dilaksanakan secara konsep hibrid selama empat hari bermula 26 November ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, konsep hibrid yang diketengahkan disebabkan oleh penularan pendemik Covid-19.

“Berdasarkan kepada penganjuran sebelum ini, MAHA boleh menarik lebih 3 juta pengunjung. Walaubagaimanapun mengambil kira situasi pendemik Covid-19 penganjuran MAHA tahun ini perlu disesuaikan dan buat julung kalinya dibuat secara hibrid iaitu kombinasi fizikal dan maya.

“Sebelum ini MAHA berlangsung selama 11 hari, dan tiada had dari segi pengunjung. Namun bagi MAHA 2020 ini penyertaan adalah dari segi jemputan dan fokus diberikan untuk acara trade and business event.

“Oleh itu MAHA 2020 disasarkan akan menarik 10,000 pengunjung sehari secara fizikal dan lebih 100,000 secara maya,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti dalam talian akan diadakan seperti sesi perbincangan, padanan perniagaan, webinar, sidang video serta promosi produk pameran yang boleh dipaparkan secara langsung.

Berikutan wabak Covid-19 dan setiap aktiviti terhad kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara, Kiandee berkata, bilangan pengunjung fizikal akan dihadkan kepada 10,000 orang sehari dan hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan masuk.

Dengan tema ‘Pertanian Penjana Ekonomi Negara’, ia menggabungkan pameran secara fizikal yang melibatkan lebih 700 gerai serta pameran maya secara dalam talian.

MAHA 2020 menyasarkan penyertaan kumpulan peserta seperti syarikat swasta, badan korporat tempatan, kementerian, jabatan, agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, institusi penyelidikan dan pembangunan antarabangsa dan tempatan serta institusi kewangan. – MalaysiaGazette