Home Nasional PRK Slim: Mengundi ikut waktu cadangan – SPR

PRK Slim: Mengundi ikut waktu cadangan – SPR

foto NOOREEZA HASHIM, 13 APRIL 2019.

SLIM RIVER – Pengundi dinasihatkan mengikut masa cadangan tertera pada kad pengundi untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Sabtu ini bagi memastikan penjarakan sosial semasa berada di pusat mengundi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi perlu merancang masa dan bukan pada saat-saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Bagi pengundi yang sudah menerima kad pengundi atau sudah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

“Pada kad pengundi kali ini, SPR juga meletakkan maklumat masa keluar mengundi digalakkan bagi setiap pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, cadangan masa itu bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah ramai dan seterusnya memastikan penjarakan sosial dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

Katanya, ia selaras prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang sedang berkuat kuasa.

“Semua pengundi dan pihak terbabit dalam PRK DUN Slim juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Bagi pengundi yang tidak menerima kad pengundi, mereka boleh membuat semakan maklumat sehari sebelum hari pengundian.

Semakan boleh dibuat di portal semakan pemilih iaitu https://pengundi.spr.gov.my; talian hotline SPR 03-88927018, menerusi aplikasi MySPR Semak atau khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 (taip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN).

“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disarankan untuk mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Seramai 22,749 daripada 23,094 pengundi biasa layak mengundi Sabtu ini, manakala seramai 267 pengundi awal dan 78 orang mengundi secara pos.

PRK DUN Slim yang akan berlangsung menyaksikan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Mohd Zaidi dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi. – MalaysiaGazette