KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidur semasa Kabinet Pakatan Harapan (PH) meluluskan rundingan terus kepada kementeriannya.
Ia jelas apabila Zuraida menafikan bahawa projek dibawah kementeriannya turut mendapat peruntukan secara rundingan terus sebanyak RM170 juta.
“Jumlah peruntukan kepada KPKT adalah RM170 juta di mana projek sampah yang diberikan kepada Bumi Segar. Dan Zuraida buat kenyataan dia tidak tahu. Kalau RM170 juta tidak ada dalam pengetahuan dia, dan baru nak siasat, sah dia tidur.
“Jadi pendedahan (Datuk Seri) Tengku Zafrul seperti yang disebut Ahli Parlimen Shah Alam beberapa hari lalu sebenarnya tidak mensasarkan PH sangat tapi lebih mengsasarkan kepada menteri pengkhianat,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Hari ini bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata RM170 juta itu diberikan kepada KPKT untuk projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara bagi menggantikan stesen sedia ada.
Ia adalah sebahagian daripada RM352 juta atau 5.3 peratus daripada RM6.61 bilion yang merupakan perolehan ‘baru’ rundingan terus yang dilaksanakan oleh kerajaan PH.
Dalam pada itu, bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pula berkata, segala peruntukan dalam rundingan terus yang dibuat di bawah bekas kementeriannya diluluskan dalam mesyuarat Kabinet.
Beliau berkata, sejumlah RM8.46 juta yang diperoleh untuk bencana pencemaran di Sungai Kim-Kim memang diluluskan oleh Kabinet yang disertai oleh menteri Kabinet Perikatan Nasional.
“Saya sangat yakin Menteri Pengkhianat memang mereka salah satu mereka daripada mereka memang hadir. Jika hadir cakap tidak tahu, mungkin dia tidur sebab ini krisis yang sangat serius. Kita bincang panjang lebar dan Kabinet luluskan peruntukan supaya kita dapatkan alat-alat pengesan untuk mendapatkan tahu mana sumber pencemaran dan gas toksik ini,” katanya.
Zuraida hari ini menjelaskan dua projek yang diluluskan secara rundingan terus ketika menjadi menteri di bawah pentadbiran PH dibuat tanpa pengetahuannya.
Tanpa mengulas lanjut, Menteri Perumahan Kerajaan dan Tempatan itu memberi jaminan akan menjalankan siasatan terhadap pendedahan yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Semalam, Tengku Zafrul mengemukakan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan melalui proses rundingan terus, semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.
Berdasarkan senarai itu terdapat 20 kementerian yang melaksanakan rundingan terus, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli paling banyak melaksanakan rundingan terus iaitu 13 diikuti Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (12), Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (9), Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani dan Kementerian Dalam Negeri, masing-masing 8 rundingan terus. – MalaysiaGazette