Home Seni Hidup Tuah pujian Judika buat Fanzi Ruji

Tuah pujian Judika buat Fanzi Ruji

Fanzi Ruji.

KUALA LUMPUR – “Fanzi Ruji salah satu bakat yang bagus di Malaysia. Kalau ada syarikat rakaman di Malaysia yang mencari penyanyi, boleh ambil dia.”

Itu adalah komen spontan daripada penyanyi hebat Indonesia, Judika buat bakat baharu, Fanzi Ruji yang terpilih dalam sesi Judika Vocal Tips’yang disiarkan di Instagram Judika.

Fanzi Ruji atau nama sebenarnya Mohd Rifanzie Ruji mengakui satu penghargaan besar buat dirinya apabila video nyanyian lagu Bukan Rayuan Gombal mendapat pujian Judika.

Malah, Fanzi yang berasal dari Ranau, Sabah menjadikan pujian dan komen itu sebagai pembakar semangat untuk terus melangkah dalam bidang seni.

“Judika memberi respon nyanyian saya dua kali. Pertama, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya membuat nyanyian semula lagu Tersenyumlah Sobat. Ketika itu, dia buka sesi duet bersama peminat di IG. Mana-mana yang dia suka, dia akan muat naik semula dan saya antara yang terpilih.

“Kedua, menerusi lagu Bukan Rayuan Gombal. Dia pilih mana-mana lagu yang dimuat naik menerusi #JudikaVocalTips. Jadi, dia memilih video nyanyian saya dan memberi tips dan komen yang dibuat secara sesi virtual.

“Pada sesi itu, dia memberikan komen dengan mengatakan suara saya bagus, ada warna dan kawalan mantap. Malah, dia cakap rugi kalau label tak ambil saya menjadi penyanyi. Rasa teruja juga apabila dia ‘follow’ saya di IG.

“Diakui dia memang idola saya dan saya memasang impian untuk berduet dengannya suatu hari nanti. Kalau tak dapat berduet lagu sendiri, menyanyi sepentas pun okay,” katanya.

Fanzi Ruji kini muncul dengan lagu Hati Nan Rapuh.

Sementara itu, Fanzi yang mempunyai profesion sebagai guru Bahasa Inggeris ini bertuah apabila bakatnya disedari oleh pihak syarikat rakaman Nova Music yang melamar dan menyunting dirinya menjadi penyanyi syarikat rakaman mereka.

“Tawaran datang selepas mereka melihat video nyanyian cover version saya di Youtube dan pada masa yang sama, saya juga ada menghasilkan lagu sendiri bertajuk Hati Nan Rapuh di semua platform muzik digital.

“Dari situ, pihak Nova Music menghubungi saya tetapi saya ambil masa dua minggu sebelum membuat keputusan, saya anggap ini sebagai rezeki dan peluang yang tak boleh dilepaskan,” katanya.

Lagu Hati Nan Rapuh katanya adalah hasil ciptaannya sendiri dan lirik oleh Ed Widad dan Cik BJ. Ia mengisahkan mengenai seorang ibu yang rindukan anaknya kerana berpisah jauh akibat perceraian.

“Kiranya, lirik lagu ini adalah ilham dari kisah benar si penulis lirik bagi menggambarkan ekspresi rasa rindu pada anak. Pendek kata, lagu ini sebagai luahan hati,” katanya. – MalaysiaGazette

 

+ posts