KUALA LUMPUR- Setakat jam 12 tengahari tadi sejumlah 10 kes baharu positif Covid-19 telah direkodkan menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 151 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada 10 kes baharu itu lapan adalah kes import yang melibatkan seorang warganegara Malaysia dan tujuh warga asing.
Ia melibatkan tujuh warganegara India yang mana lima kes di Kuala Lumpur dan dua kes di Selangor manakala satu kes melibatkan rakyat Filipina di Sarawak.
Bagi kes penularan tempatan pula, satu kes melibatkan warganegara Malaysia di Kedah yang didapati positif Covid-19 selepas menunjukkan gejala manakala satu lagi kes melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dikesan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Selangor.
“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Terdapat 36 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,030 kes (97.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, sehingga 27 Ogos 2020, daripada 106,793 pengembara telah tiba di Malaysia, sebanyak 904 kes dikesan positif Covid-19 atau mewakili 0.85 peratus.
Daripada jumlah tersebut, tiga negara yang mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu Indonesia iaitu sebanyak 295 kes (32.6 peratus), diikuti Mesir 93 kes (10.3 peratus) dan nSingapura 70 kes (7.7 peratus).
“Malaysia akan terus memperketatkan aktiviti kesihatan awam yang dijalankan di pintu masuk antarabangsa negara bagi memastikan jangkitan COVID-19 di luar negara dapat disekat.
Dr. Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan perhimpunan besar-besaran sempena sambutan Hari Kebangsaan yang kebetulan jatuh pada hujung minggu yang panjang di samping sentiasa mengikut norma baharu dan mematuhi SOP yang ditetapkan. – MalaysiaGazette