KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia pada Julai 2020 meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada RM92.5 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, merekodkan pertumbuhan positif selama dua bulan berturut-turut.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, ia juga merupakan nilai eksport kedua tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Oktober 2018 iaitu RM97.1 bilion.
Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa peningkatan eksport disebabkan oleh peningkatan eksport ke Amerika Syarikat (+RM2.5 bilion) dan China (+RM1.9 bilion).
Bagaimanapun, eksport ke Emiriah Arab Bersatu menurun sebanyak RM467.2 juta. Sementara itu, import yang lebih rendah terutamanya daripada Republik Korea (-RM1.4 bilion), China (-RM1.4 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.2 bilion) dan Australia (-RM1.0 bilion). Bagaimanapun, import dari India mencatatkan kenaikan sebanyak RM889.7 juta.
Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM3.3 bilion), keluaran getah (+RM1.9 bilion) dan minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.6 bilion). Sementara itu, penurunan import dicatat bagi kelengkapan pengangkutan (-RM1.5 bilion), kimia dan bahan kimia (-RM1.4 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (-RM1.1 bilion) dan petroleum mentah (-RM1.1 bilion).
“Eksport semula bernilai RM20.8 bilion mencatat kenaikan 15.6 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 22.5 peratus kepada jumlah eksport.
“Sementara itu, eksport domestik menurun sedikit iaitu 0.1 peratus kepada RM71.7 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kadar import menurun sebanyak 8.7 peratus berbanding Julai tahun lepas kepada RM67.4 bilion menghasilkan lebihan dagangan berjumlah RM25.1 bilion.
Angka itu meningkat 57.5 peratus berbanding Julai 2019.
Ini adalah lebihan perdagangan terbesar yang pernah dicatatkan setakat ini.
“Sementara itu, jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM159.9 bilion, menurun 2.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu,” katanya lagi.
Sementara itu, penurunan dalam import mengikut penggunaan akhir disumbangkan oleh barangan perantaraan dan barangan modal.
Import barangan perantaraan turun 17.3 peratus atau RM6.7 bilion kepada RM32.2 bilion.
Barangan modal menurun 19.7 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM6.7 bilion.
Sementara itu, import barangan penggunaan mencatat kenaikan 0.1 peratus kepada RM6.4 bilion. – MalaysiaGazette