Home Nasional KVDT 2 akan dilaksana secara tender terbuka – MOT

KVDT 2 akan dilaksana secara tender terbuka – MOT

Datuk Seri Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR- Kerajaan mengumumkan projek Landasan Berkembar Lembah Klang fasa 2 (KVDT 2) akan dilakukan secara tender terbuka mengikut prosedur yang betul dan bukan melalui rundingan terus seperti sebelum ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Perunding Pemeriksaan Berkecuali (ICC) akan dilantik sebelum kontraktor baharu dapat melaksanakan skop kerja yang diperlukan.

Ini bagi memendekkan tempoh pembinaan projek kepada lima tahun berbanding tujuh tahun sebelum ini.

“Setelah mempertimbangkan hasil penelitian dan penyelidikan yang menyeluruh, Kementerian telah memutuskan bahawa kos projek semasa adalah terlalu tinggi.

“Susulan itu, Kabinet Perikatan Nasional (PN) telah bersetuju bahawa pelaksanaan projek dengan bersandarkan kepada rundingan terus adalah tidak boleh diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sebaik menawan Putrajaya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membatalkan projek KVDT 2 dengan alasan kos terlalu tinggi dan penganugerahan kontrak kepada Dhaya Maju dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera Sdn. Bhd. (DM-LTAT) adalah secara rundingan terus yang dibuat semasa pemerintahan Barisan Nasional.

PH ketika itu bertegas mahu projek berkenaan dilakukan secara tender terbuka bagaimanapun pada 5 Julai 2019 projek tersebut diserahkan semula kepada DM-LTAT dengan kos dikurangkan sebanyak 15 peratus kepada RM4.475 bilion.

Ia turut melibatkan pengurangan skop kerja berbanding pelan asal.

Meskipun menimbulkan banyak persoalan malah bekas Ketua Pegawai Eksekutif KTMB ketika itu, Mohd. Rani Hisham Samsudin turut menulis surat kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk memaklumkan prestasi buruk DM-LTAT ketika melakukan kerja-kerja KVDT fasa pertama, KVDT 2 tetap diberikan kepada kontraktor yang sama dengan alasan perundangan.

Sebaik mengambil alih kerajaan pada Mac lalu, PN telah bertindak menyiasat projek KVDT 2 dan membuat keputusan supaya kontrak DM-LTAT dibatalkan, kata Ka Siong.- MalaysiaGazette