KUALA LUMPUR – Keharmonian negara hanya dapat dikekalkan jika kestabilan politik dapat dicapai dan dijaga.
Exco Srikandi Malaysia, Mizma Appehdullah berkata, hanya parti yang memiliki kekuatan dan kredibiliti dalam mengurus tadbir negara akan dapat melaksanakan perkara ini.
Beliau berkata, perkara itu dibuktikan apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) terbukti berjaya mengharungi detik sukar lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 tanpa membenarkan rakyat melalui detik lebih menakutkan berbanding beberapa negara maju di dunia.
“Bahkan Singapura juga tidak sebaik negara kita mengawal penularan covid19. Inilah kerajaan, inilah pemimpin negara Malaysia yang mampu menjaga rakyat keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang pemerintahan PN dan Bersatu, tiupan amarah yang membakar semangat perpaduan sudah berkurangan dan rakyat sudah mula bertoleransi antara satu dengan yang lain.
“Inilah sebenarnya juga harapan rakyat dapat menikmati kehidupan dengan selesa, kerana makna hari Malaysia itu juga adalah penyatuan dan kebebasan rakyat dari pemerintahan kolonial. Detik dimana rakyat memiliki ibunda tanahair yg merdeka.
“Jika masih perlu berhadapan dengan krisis politik, kesengsaraan kehidupan…apalah makna pembentukan Malaysia ini yang usianya saja sudah menjangkau 57 tahun,” ujarnya.
Justeru itu, masyarakat digesa agar mengekalkan apa yang telah dimiliki hari ini dan bersatu untuk memperbaiki apa yang kurang dalam perjalanan Malaysia yang tercinta.
Katanya, kekalkanlah perpaduan dengan tidak mengira sempadan negeri, bangsa dan agama kerana tiada lebih besar nikmat tuhan berikan kepada kita selain mempunyai pemimpin yang peduli rakyat.
“Teguhkanlah saf kita dibelakang kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan yang dipimpinnya dalam memacu Malaysia meniti usia 57 tahun.
“Pasti beliau juga mengharapkan kita semua berada dalam keadaan harmoni dan aman damai,” tambahnya. – MalaysiaGazette