SLIM RIVER – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bukanlah pilihan raya yang kecil sebaliknya ia memberi isyarat bagaimana pengundi di kawasan ini memilih pemimpin.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Nik Zawawi Salleh berkata, pengundi di DUN berkenaan perlu bijak dalam memilih pemimpin kerana ia boleh menentukan masa depan mereka pada masa akan datang.
“Kalau kita buat pilhan, kita pilih calon BN (Barisan Nasional) yang pertama kita nak bagi tahu seluruh dunia bahawa kita ada satu gagasan baharu iaitu kita ada Muafakat Nasional.
“Menerusi muafakat ini kita dapat membentuk satu gagasan baharu yang akan menjamin kestabilan politik dan ekonomi sekaligus menyakin pelabur untuk melabur ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Slim) di Dewan Taman Permai, Pekan Lama, Trolak di sini malam ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Menurut Nik Zawawi, walaupun PRK berkenaan tidak mengubah apa-apa namun, ia mampu menterjemahkan bahawa ada penyatuan dalam muafakat nasional.
Ujarnya, penyatuan ini merupakan sejarah penyatuan politik di negara ini dan ia wajar diwar-warkan ke seluruh negara dan dunia.
Dengan memberikan contoh apa yang berlaku di sesetengah negara Arab, Nik Zawawi berkata, disebabkan tidak ada kestabilan politik yang mantap terdapat negara timur tengah seperti Palestin di Tebing Barat dengan mudah dirampas kuasa oleh Israel.
“Saya lama di negara Arab, lebih 10 tahun. Apa yang saya nak katakan di negara Arab sana mereka berpecah kerana banyak kabilah. Mereka tidak boleh bersatu.
“Kalau negara Arab ini bersatu, Israel yang negaranya sebesar tahi cicak pun mereka boleh singkirkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nik Zawawi mengharapkan agar pengundi-pengundi di Slim tidak membuat pilihan yang salah pada PRK ini sebaliknya, perlu memanfaatkan peluang untuk menjamin kesejahteraan dan muafakat yang jitu. – MalaysiaGazette