SLIM RIVER – Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi memuji pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini.
Beliau yang tiba pada pukul 8 pagi tadi untuk melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Besout 5 bagi melihat proses pembuangan undi menyatakan rasa puas hati melihat semua peti undi dijaga dengan baik oleh badan pelaksana pilihan raya berkenaan.
“Saya nampak kemudahan untuk orang kelainan upaya juga cantik disediakan.
“Kita sangat memujilah dan saya ambil ksempatan ini minta pengundi yang belum keluar rumah, jomlah kita mengundi. Marilah kita jalankan tanggungjawab bersama,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau akan melawat semua 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM), Amir Khusyairi berkata, ia bergantung pada kesempatan masanya hari ini.
Bagaimanapun, beliau berharap agar semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dan akan menerima apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan oleh SPR pada malam ini.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.
Sejumlah 96.25 peratus daripada 267 pengundi awal telah menunaikan hak mereka pada Selasa lalu.
Keputusan bagi PRK itu dijangka dapat diketahui sebelum pukul 9 malam ini sekiranya tiada bantahan dan gangguan.
SPR membuka semua PDM tepat pukul 8 pagi tadi dan akan ditutup pada pukul 5.30 petang ini. – MalaysiaGazette
Pujilah. Kalah ngko tetap kalah…
Pejuang terbaikk