LAPORAN enam orang ahli Dewan Negara tidak setuju dengan pencalonan YB Tan Sri Dr. Rais bin Yatim sebagai Speaker Dewan Negara yang baharu berlegar dalam media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
Malaysia mengikuti Model Westminster yang diamalkan di United Kingdom (UK) sejak merdeka. Dalam sistem ini, parlimen dibahagikan kepada dua Dewan iaitu Dewan Rakyat yang ahlinya dilantik oleh rakyat dan Dewan Negara yang ahlinya dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong (YDPA) selaku ketua negara.
Secara ringkasnya, fungsi Dewan Negara adalah meneliti dan mengesahkan undang-undang yang dibuat oleh Dewan Rakyat.
Menurut Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan, Dewan Negara terdiri daripada 70 ahli, termasuk 26 ahli dilantik oleh Dewan Undangan Negeri dan 44 orang dilantik oleh YDPA .
Menurut laporan terbaru, pada ketika ini 43 ahli adalah terdiri daripada kerajaan Perikatan Nasional dan 21 orang daripada parti pembangkang dan tiga ahli yang bukan menyertai mana-mana gabungan politik yang bakinya masih belum dilantik.
Keanggotaan itu jelas menunjukkan pihak ahli daripada parti Perikatan Nasional (PN) merupakan majoriti dalam Dewan Negara dan sekiranya timbul keundian untuk memilih speaker maka kemungkinan besar calon yang dicalonkan oleh Perikatan Nasional akan menang dengan mudahnya dan akan dilantik sebagai tanpa sebarang masalah.
Dalam pada itu, dakwaan kononya Dewan Negara memerlukan seorang speaker yang mampu memupuk konsensus dalam kalangan anggotanya dan dengan itu kerajaan PN perlu melantik seorang speaker yang boleh diterima semua pihak.
Dakwaan tersebut itu bukan sahaja tidak masuk akal malah lebih bersifat politik. Memandangkan perkembangan politik terbaru dalam pentas politik negara, Dewan Negara memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber malah berpengalaman dan pengetahuan luas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bersandarkan kerjaya politik Rais, beliaulah calon yang paling layak dan tepat untuk memikul tanggungjawab berkenaan.
Rais mempunyai pengalaman luas dalam politik negara kerana beliau didapati mencebur dalam politik negara dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam politik dan kerajaan sejak tahun 1967 termasuk jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan mulai 1978 hingga 1982.
Beliau yang dilantik sebagai Ahli parlimen Jelebu, Negeri Sembilan pernah dilantik menjawat pelbagai jawatan dalam kerajaan Persekutuan termasuk Menteri beberapa kementerian pada tahun 1974 dan tahun 2013.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri Undang-Undang, dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, menteri Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Kementerian Penerangan, Menteri Kementerian Penerangan dan Kebudayaan dan Menteri Komunikasi dan Multi Media.Beliau juga pernah dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Rais, sebagai seorang yang berkelulusan undang-undang juga merupakan seorang yang berani dan vokal dalam menyuarakan pendapatnya tanpa fear or favour dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.
Prinsip menegakkan kebenaran dan keadilan menyebabkan beliau keluar bersama Tengku Razaleih Hamzah daripada parti UMNO, kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1989 dan menyertai parti pembangkang sehingga tahun 1999.
Beliau juga tidak akan teragak-agak menyuarakan pendapatnya terhadap sesuatu isu yang melibatkan kaum terutamanya kaum Melayu, bahasa kebangsaan malah agama khususnya yang berkaitan dengan kebudayaan orang Melayu.
Sikap inklusif sungguh menyerlah dalam pendekatan beliau apabila beliau pernah menyuarakan pendapatnya untuk membela hak legitimasi kaum bukan Melayu dalam negara.
Mahathir selaku Perdana Menteri pernah menyifatkan dan mengakui Rais sebagai seorang menteri dalam Kabinet beliau yang pintar serta artikulatif.
Pendirian menegakkan kebenaran yang sejati dalam sanubari beliau telah menyebabkan beliau keluar daripada UMNO kali kedua dan menyertai Parti PPBM yang diterajui Mahathir pada tahun 2018 dan terus bersama Pakatan Harapan (PH) sehingga PH tumbang pada bulan Februari lalu.
Daripada segi pendidikanya, beliau pernah mengikuti pendidikan peringat ijazah di National University Of Singapore, Kings College London dan Universitiof London malah merupakan seorang yang ‘bertaulaiah’ untuk mentafsir Perlembagaan Persekutuan.
Beliau pernah mengarang buku pelbagai tajuk mengisar kepimpinan dan kerajaan dan antaranya buku bertajuk Cabinet Governing in Malaysia.
Justeru itu, ahli-ahli Senat tidak perlu bimbang terhadap pencalonan Rais kerana kelulusan, pengalaman dan sikap menegakkan kebenaran yang terpendam dalam hati Dr.Rais Yatim sejak beliau menceburi politik dijangka akan menyerlah dalam beliau menjalankan tugasnya sebagai Speaker Dewan Negara.- MalaysiaGazette
M. PERIASAMY, PENGANALISIS POLITIK, EKONOMI & SOSIAL.