Home Utama Kerajaan bangunkan JENDELA untuk tambah baik komunikasi digital negara

Kerajaan bangunkan JENDELA untuk tambah baik komunikasi digital negara

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam usaha menambah baik komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pelan itu akan menjadi landasan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap.

“JENDELA akan dilaksanakan secara berfasa iaitu Fasa 1 yang bermula sekarang akan melibatkan perluasan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk.

“Selain itu ia juga akan mempertingkat kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25 megabait sesaat (Mbps) kepada 35 Mbps sekali gus membolehkan sebanyak 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabait,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata pelan itu juga akan melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat hingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G.

Sementara itu, katanya Fasa 2 yang melibatkan peralihan kepada 5G akan menyusul selepas platform yang kukuh dalam Fasa 1 dapat dicapai, selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia ke-12.

Pada masa yang sama Muhyiddin berkata rakyat Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan menerima manfaat daripada pelaksanaan JENDELA itu.

Di Sabah, katanya 382 menara komunikasi baharu sedang dirancang untuk dibina, manakala 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia juga akan dinaik taraf di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

Selain itu, 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada juga akan dinaik taraf secara komersial oleh pemberi perkhidmatan bagi meningkatkan liputan 4G dan 251,166 premis juga akan disediakan dengan capaian kepada gentian optik, katanya.

“Turut diberi perhatian ialah rakyat Sarawak apabila 636 menara komunikasi baharu juga sedang dirancang dan 977 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf di bawah program PPS,” kata perdana menteri.

Katanya selain itu, 49 menara baharu dan 825 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial sementara 43,013 premis akan disediakan dengan capaian kepada gentian optik.

Perdana menteri menjelaskan pelan tindakan itu akan menyediakan akses kepada pengguna untuk menilai liputan dan kualiti perkhidmatan bagi membolehkan perancangan dan pembinaan infrastruktur digital dimudah cara supaya perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi dapat diberikan kepada pengguna pada kadar lebih segera.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, kementerian dan agensi berkaitan supaya terus memberikan kerjasama bagi menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan komunikasi sebagai kemudahan asas bagi memacu negara ke arah ekonomi digital.

Muhyiddin turut memberi jaminan pelan tindakan JENDELA itu akan dipantau dengan rapi bagi memastikan pelaksanaan yang baik di seluruh negara.

“Saya percaya akan kewibawaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memastikan pembekal perkhidmatan melaksanakan JENDELA seperti yang dirancang,” katanya.- BERNAMA