Home Politik Kerinduan pengundi BN telah terubat – Zahid

Kerinduan pengundi BN telah terubat – Zahid

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan (empat kanan), Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga kiri) bersama barisan kempimpinan tertinggi Barisan Nasional yang lain serta calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain (tengah) semasa pengumuman keputusan rasmi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Pusat Perjumlahan Undi, Dewan Sri Tanjung, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2020

SLIM RIVER – Kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini mengubat kerinduan seluruh rakyat Malaysia terhadap parti itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan besar yang dicapai oleh BN itu juga boleh dibawa kepada penduduk di Sabah untuk melepaskan kerinduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung hujung bulan depan.

“Ini menunjukkan bahawa kerinduan pengundi-pengundi kepada BN telah terubat dan inilah yang kita akan terjemahkan nanti jika ada Pilihanraya Negeri di Sabah dan juga PRU15.

” Jika diadakan, insyaallah kita tidak riak jauh juga takabur untuk terus menggamit sokongan rakyat yang amat rindukan BN ini. Dan insyaallah kita akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengikuti perkembangan keputusan PRK Slim di Command Centre BN, di Trolak, sebentar tadi.

Menurut Zahid lagi, 13 Pusat daerah Mengundi (PDM) yang enam daripadanya pernah ditewaskan pada PRU14 lalu berjaya dirampas semula oleh BN pada PRK kali ini.

Katanya, semua itu berkat sokongan daripada pengundi-pengundi di semua PDM selain, kerjasama yang diberikan oleh seluruh jentera parti serta gabungan parti-parti dalam Muafakat Nasional.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berpesan kepada Mohd Zaidi Aziz seupaya menjadi seorang wakil rakyat yang dapat memenuhi perminataan rakyat di kawasan itu dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik sebagaimana dilakukan oleh Allahyarham, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

PRK DUN Slim hari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Pada PRU14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim turut mencatat sejarah sebagai pilihan raya kedua berlangsung dalam normal baharu susulan pandemik Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.