Home Utama Pengundi DUN Slim pilih wakil rakyat hari ini

Pengundi DUN Slim pilih wakil rakyat hari ini

Orang ramai yang hadir beratur di luar pusat mengundi pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Sekolah Kebangsaan Besout 5, Felda Besout 5, Perak. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2020

SLIM RIVER – Pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pagi ini.

Sebanyak 12 pusat mengundi disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mempunyai 54 saluran yang kesemuanya dibuka bermula pukul 8 pagi ini.

Pusat mengundi tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

Seramai 689 petugas dilantik SPR bagi mengendalikan proses pengundian pada PRK kali ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Sejumlah 96.25 peratus daripada 267 pengundi awal telah menunaikan hak mereka pada Selasa lalu.

Keputusan bagi PRK itu dijangka dapat diketahui sebelum pukul 9 malam ini sekiranya tiada bantahan dan gangguan.

Terdahulu, SPR menyasarkan sebanyak 85 peratus daripada 22,749 pengundi biasa keluar mengundi hari ini.

Ia berbanding sasaran 70 peratus sebelum ini dengan mengikut peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ingatkan isu beratur panjang setelah lebih 22 bulan dibawah pengurusan orang2 Pakatan Hancing didalam SPRM sudah selesai?

    Rupanya masih macam tu juga TIADA PERUBAHAN!

Comments are closed.