Home Nasional Pengundi tolong jaga jarak fizikal – Ismail Sabri

Pengundi tolong jaga jarak fizikal – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

SLIM RIVER – Para pengundi yang keluar untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini diingatkan agar sentiasa menjaga penjarakan fizikal.

Peringatan itu diberikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila memberitahu, perkara itu perlu dititik beratkan sebagai langkah pencegahan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterima beliau dimaklumkan perjalanan PRK berkenaan ketika ini berada dalam keadaan yang terkawal dengan masing-masing patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Ini baru pusat pengundian pertama saya sampai. Saya dilaporkan keadaan terkawal, walaupun ada dua pihak berdekatan, saya harap mereka mereka terus mengawal diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Slim bagi mengikuti proses PRK berkenaan hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri turut mengharapkan agar tidak ada sebarang pertelingkahan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, beliau mahu keadaan tenang seperti itu kekal selain menyeru agar para pengundi keluar awal kerana dikhuatiri cuaca hujan pada sebelah petang.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai. – MalaysiaGazette