Home Ekonomi Ringgit diunjur lebih tinggi berbanding dolar

Ringgit diunjur lebih tinggi berbanding dolar

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka akan didagangkan lebih tinggi berbanding dolar US pada minggu hadapan disebabkan permintaan yang kukuh selepas Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell mendedahkan pendekatan baharu bagi menetapkan dasar kewangan negara itu.

Penganalisa Pasaran Kanan OANDA Asia-Pacific, Jeffrey Halley berkata, dua matlamat utama daripada kenyataan Powell adalah rizab akan membenarkan inflasi untuk melangkaui sasaran dua peratus bagi mendapatkan kesan ‘purata ‘, manakala kedua, kadar akan menjadi lebih rendah untuk lebih lama.

Berikutan ucapan itu, keluk hasil AS dengan kadar 30 tahun meningkat lebih daripada dua tahun pendek, sekali gus, melonjakkan dolar US.

Bagaimanapun, peningkatan dalam hasil AS telah terancat sebaik sahaja ia bermula, menghancurkan kemungkinan pembetulan dalam kenaikan dolar US.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit secara amnya adalah lebih tinggi berbanding dolar US pada 4.1630/1680 daripada 4.1780/1800 yang dicatatkan dalam minggu sebelumnya.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan semalam bahawa rizab antarabangsa Malaysia kekal boleh digunakan pada akhir Julai 2020, dengan aset rizab rasmi berjumlah US$104.21 bilion, selaras dengan format Special Data Dissemination Standard Tabung Kewangan Antarabangsa (SDDS IMF), yang lebih tinggi berbanding dengan US$103.4 bilion sehingga pada 30 Jun.

Antara berita utama dalam minggu berkenaan adalah rancangan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe untuk meletakkan jawatan, yang menyaksikan Yen melantun selepas menurun selama dua minggu berbanding dolar US pada Jumaat.

Ringgit, bagaimanapun, didagangkan lebih tinggi berbanding yen pada 3.9393/9444 daripada 3.9561/9583 yang direkodkan pada minggu lepas.

Mengulas mengenai perkembangan ini dan kesan yang mungkin berlaku ke atas mata wang serantau, Halley berkata: “Isu ini hanya tertumpu di Jepun, dasar ekonomi tidak akan berubah dengan ketara. Kesannya akan menjadi minima atau sifar ke atas mata wang Asia lain.”

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0581/0629 daripada 3.0528/0553, turun berbanding pound British kepada 5.5251/5322 daripada 5.5012/5046 dan merosot berbanding euro kepada 4.9486/9562 daripada 4.9355/9383. – MalaysiaGazette