KUALA LUMPUR – “Kita tidak campur urusan parti lain. Misalnya Pas mempunyai kelab penyokong bukan Islam dan ia tidak harus jadi masalah kepada UMNO.
“Jika PPBM (Bersatu) mahu buka keahlian kepada bukan Melayu, kita kena hormat hal-hal dalaman mereka,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa seperti dilaporkan semalam.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau dikenali Ku Li supaya menteri Kabinet mewakili UMNO perlu berundur dari kerajaan susulan langkah Bersatu membuka keahliannya kepada bukan Melayu.
Bagi Annuar, ia hanya pandangan peribadi Ku Li.
Menurutnya, UMNO tidak pernah berhasrat mencampuri urusan parti lain memandangkan sudah dinyatakan dalam piagam Muafakat Nasional (MN) bahawa ia berhasrat membina gabungan besar terdiri daripada parti Melayu dan bukan Melayu.
“Itu adalah pendapat seorang individu dan kita harus hormati pendapat itu atas sifat ia sebagai individu. Sudah tentu keputusan yang kita buat berdasarkan keputusan parti.
“Pada ketika ini parti tidak membuat pandangan seperti dizahirkan oleh Ku Li,” katanya lagi.
Annuar berkata, tidak pernah menjadi asas bagi parti dalam MN yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu untuk memperjuangkan agenda Melayu dan Islam sahaja sebaliknya turut menjemput parti bukan Melayu seperti MIC dan MCA untuk turut bersama dalam gabungan itu.
“Sebab itu kalau MIC dan MCA juga mahu sertai (MN) secara rasmi, itu akan dibincangkan. Kita perjuangkan Malaysia yang luas, yang majmuk, dengan mengambil kira aspek kepelbagaian kaum.
“Jadi isu mana-mana parti memberi layanan baik kepada bukan Islam, tidak jadi masalah buat UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Terima bukan Melayu jadi ahli, Bersatu tak layak sertai MN – Ku Li
Kalau dah cakap Penasihat UMNO tidak diguna pakai oleh orang UMNO sendiri sekalipun tidak dibincang sebagai satu teguran. Buat apa lagi Ku Li sebagai Penasihat UMNO? Sepatutnya pemimpin tertinggi UMNO perlu bincangkan teguran itu untuk dapatkan satu resolusi pandangan parti. Bukan pandai-pandai membuat tanggapan individu lalu mengangkat itu sebagai pendirian parti. Lagi pun, jika itu pandangan parti, biar SUA parti yang bercakap.