KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan November ini adalah berprinsipkan Prihatin Rakyat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan.
“Saya berikrar untuk menjadikan Prihatin Rakyat sebagai prinsip panduan utama kerajaan Perikatan Nasional.
“Prinsip ini telah pun diterjemahkan dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
“InsyaAllah, prinsip Prihatin Rakyat juga akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan,” katanya semasa menyampaikan perutusan khas Hari Kebangsaan 2020 malam tadi.
Menurut Muhyiddin, pandemik Covid-19 memberikan pengajaran yangn amat bermakna kepada semua.
Katanya, Malaysia berjaya menangani krisis kesihatan ini kerana kita semua adalah prihatin.
Para petugas hadapan bertugas siang dan malam untuk melawan wabak Covid-19 manakala sukarelawan pula sentiasa bersedia untuk membantu atas dasar prihatin.
Malah rakyat sendiri mematuhi SOP ditetapkan untuk melindungi diri dan keluarga kerana masing-masing prihatin terhadap satu sama lain.
“Bagi saya secara peribadi sebagai pemimpin kerajaan, sebuah kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin kepada rakyat.
“Kebajikan rakyat mesti diutamakan. Yang susah dibantu. Yang lemah dipapah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin menyatakan keyakinannya terhadap trend pemulihan ekonomi berterusan akan menjadikan pertumbuhan ekonomi Malaysia pulih lebih cepat.- MalaysiaGazette
Semuga menjadi kenyataan.