KUALA LUMPUR- Rakyat Malaysia perlu akur Malaysia adalah sebuah negara majmuk dan setiap warganya perlu mengiktiraf kerencaman budaya dan agama serta menerima dan menghormatinya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat perlu akur tiada satu budaya yang lebih tinggi daripada budaya yang lain.
Katanya, Malaysia adalah tanah pertemuan pelbagai budaya dan menjadi tempat yang didatangi oleh pedagang, pelaut dan pengembara dari seluruh dunia sejak dahulu lagi.
Kedatangan semua imigran tersebut jelasnya, telah diterima dengan terbuka oleh masyarakat pribumi dan mereka telah menemui formula untuk bersama-sama serta membina negara ini.
“Kemerdekaan kita tidak dikecapi melalui konflik persenjataan atau pertumpahan darah berpanjangan, tetapi ditebus dan diisi sarat dengan semangat permuafakatan yang tulen.
“Kerana itu, acapkali Malaysia berhadapan dengan pelbagai krisis, atau suhu politik yang meninggi, atau saat tampilnya gerombolan rasis dan chauvenis tidak bertanggungjawab yang cuba merobek dan merampas kesepaduan nasional, kita mendepaninya dengan cara kita. “Dengan jalan berpakat dan dengan semangat muafakat.”
“Muafakat Malaysia bukannya ‘win some, lose some’. Tapi ‘everyone win and no one lose’. Jika tidak, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke -63.
Tambahnya, Muafakat Malaysia tidak boleh dicapai melalui paksaan dan penguatkuasaan undang-undang sebaliknya kesetiaan pada tanah air adalah kualiti yang lagir dari hati.
Katanya lagi, meskipun sukar namun kesepakatan di antara semua watan adalah satu-satunya jalan yang ada untuk Malaysia. – MalaysiaGazette