Home Pendapat RUU PM dua penggal penting untuk pengukuhan demokrasi

RUU PM dua penggal penting untuk pengukuhan demokrasi

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berharap kerajaan Perikatan Nasional dapat memperhalusi cadangan-cadangan belanjawan yang dikemukakan oleh rakyat, melalui saluran Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM).- Gambar hiasan.

KEPUTUSAN pihak kerajaan untuk menarik balik Rang Undang- Undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan supaya jawatan Perdana Menteri ditetapkan tidak melebihi dua penggal dibimbangi boleh hantar isyarat salah terhadap usaha yang ingin diambil bagi memantapkan proses pentadbiran dan perjalanan proses demokrasi dalam negara. Untuk rekod, cadangan RUU berkenaan telah diusahakan oleh pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) di  bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. RUU berkenaan telah dikemukakan dengan tujuan untuk menghadkan tempoh masa bagi jawatan pentadbiran utama dalam negara kita. Pada masa kini tidak ada had tempoh masa untuk jawatan pentadbiran utama dalam negara kita. Perlembagaan Persekutuan juga tidak menyatakan mengenai isu ini. Memandangkan tiada peruntukan undang- undang mengenai perkara berkenaan, seseorang itu boleh memegang jawatan pentadbiran utama terbabit untuk tempoh masa yang tidak ditetapkan malah boleh juga memegang jawatan berkenaan untuk selama-lamanya.

Terdapat banyak perdebatan terhadap isu penetapan had tempoh masa ini bagi jawatan pentadbiran utama dalam negara bukan sahaja dalam Malaysia malah diserata dunia. Dengan tiadanya tempoh had masa yang ditetapkan, pemimpin dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih selesa dan tenang tanpa perlu melakukan kerja dengan tergesa-gesa bagi mengejar tempoh had masa yang telah ditetapkan untuk pemerintahannya. Tiadanya tempoh had masa ini juga akan membawa kestabilan kepada proses pentadbiran dan politik dalam negara dimana seseorang pemimpin itu dapat terus memimpin negara tanpa perlu ditukar dalam tempoh masa tertentu. Tiadanya tempoh had masa ini akan membenarkan semua pihak memberi fokus mereka terhadap perkara –
perkara yang lebih penting seperti fokus terhadap proses pembangunan negara daripada sibuk memberi fokus kepada proses pencarian pemimpin baru pada setiap masa. Pada masa yang sama juga, dengan adanya tempoh had masa ini, kita dapat memastikan tiada proses monopoli kuasa berlaku oleh kepimpinan negara.

Dengan adanya tempoh had masa ini, kita dapat memastikan tiada pihak yang memegang jawatan tertinggi dalam negara untuk satu tempoh yang sangat lama ataupun untuk selama-lamanya. Dengan ada tempoh had masa ini kita dapat memberi ruang dan peluang kepada orang lain untuk memegang jawatan terbabit serta berkhidmat kepada negara. Dengan adanya tempoh had masa ini juga, kita dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan rakyat terhadap proses pentadbiran dan sistem demokrasi dalam negara kita. Sekiranya kita ada pemimpin yang memegang sesuatu jawatan pentadbiran untuk satu tempoh masa yang lama, ia boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat yang akhirnya boleh menimbulkan suasana huru- hara. Pengamalan had tempoh masa bagi jawatan tertinggi dalam negara ini bukan yang baru diperkenalkan. Ia sudah lama diamalkan oleh masyarakat di zaman lampau seperti masyarakat di Athens, Greek serta di zaman pemerintahan Rom. Sehingga kini pun masih terdapat beberapa buah negara dunia yang melaksanakan tempoh had masa bagi pemimpin mereka untuk memegang jawatan tertinggi dalamnegara mereka. Antara negara yang paling terkenal mengamalkan tempoh had masa pemerintahan ini terhadap pemimpin mereka adalah Amerika Syarikat.

Pindaan Nombor 22, Perlembagaan Amerika Syarikat telah menetapkan seorang Presiden Amerika Syarikat hanya boleh menjawat jawatan sebagai Presiden selama dua penggal sahaja yang masing- masingnya mempunyai tempoh masa empat tahun. Memegang jawatan sebanyak dua penggal bermakna seseorang itu boleh menjawat jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat selama lapan tahun sahaja, tidak lebih daripada itu. Pindaan Nombor 22 Perlembagaan Amerika Syarikat ini telah dilakukan pada tahun 1951. Sebelum pindaan ini dilakukan, tiada tempoh had masa yang telah ditetapkan untuk mana-mana individu memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat. Walaupun begitu, setiap Presiden Amerika Syarikat yang telah dipilih akan mengikuti tradisi turun temurun atau jejak langkah Presiden Amerika Syarikat yang pertama iaitu George Washington yang memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat sebanyak dua penggal sahaja. Pindaan terpaksa dilakukan pada tahun 1951 terhadap Perlembagaan Amerika Syarikat ini bagi mengelakkan mana- mana pemimpin yang  dilantik pada masa akan datang untuk melanggar tradisi turun temurun atau jejak langkah yang telah dilakukan oleh George Washington.

Bagi negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen pula, jarang ada menyediakan undang- undang bagi menetapkan tempoh had masa pemerintahan pemimpin mereka. Di dalam sistem demokrasi berparlimen, selagi pemimpin berkenaan mendapat kepercayaan penuh dari sejumlah ahli Parlimen yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan, mereka akan terus menjadi pemimpin malah boleh menjadi pemimpin untuk selama- lamanya. Walaupun begitu, ia tidak bermakna negara-negara ini tidak boleh menyediakan peruntukan undang-undang bagi menetapkan had tempoh masa jawatan bagi pemimpin mereka. Semuanya bergantung pada pembuat undang-undang sedia ada dilkalangan ahli Parlimen untuk melakukan sebarang jenis proses pindaan bagi menjadikan penetapan tempoh had masa pentadbiran untuk pemimpin ini menjadi realiti.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)