Home Akhbar Cina Lanjutan PKPP: Perusahaan harap bantuan dilanjutkan

Lanjutan PKPP: Perusahaan harap bantuan dilanjutkan

Orang ramai beratur di hadapan sebuah bank sambil mematuhi arahan penjarakan sosial. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun memahami pemanjangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebagai langkah yang tidak dapat dielakkan, pihak berkepentingan bagaimanapun berharap bantuan seperti moratorium bayaran pinjaman dan pemberian subsidi gaji dapat dilanjutkan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata,  subsidi gaji dan penangguhan pinjaman akan tamat pada September.

Beliau memberitahu Nanyang Siang Pau, keadaan itu akan memberi tekanan berganda kepada majikan.

Shamsuddin justeru mencadangkan kerajaan supaya menangguhkan bayaran pinjaman sehingga Disember dan boleh meneliti semula dasar itu sama ada terus dipanjangkan selepas akhir tahun.

Katanya, walaupun kerajaan menyediakan penangguhan bayaran pinjaman bank secara bersasar, tetapi ia perlu dipohon dan kelulusannya tidak mudah.

“Kerajaan harus mengumumkan pelan penangguhan bayaran pinjaman yang lebih umum untuk membantu peminjam menghadapi masa sukar semasa,” katanya yang mengharapkan pengumuman “berita baik” sebelum tempoh moratorium bayaran pinjaman berakhir.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Datuk Michael Kang berkata, kajian persatuan mendapat kira-kira 50 peratus PKS memerlukan masa lagi untuk membayar pinjaman.

Beliau juga berharap subsidi gaji dilanjutkan lagi selama empat bulan selari dengan perlanjutan tempoh PKPP.

Micheal pada masa yang sama menggesa perusahaan melakukan persediaan ke arah transformasi dan pendigitalan untuk memastikan kemampanan perniagaan.

Dalam pada itu, perusahaan pelancongan juga meminta bantuan kerana perlanjutan tempoh PKPP bermakna industri itu mengalami hampir “satu tahun yang kosong.” – MalaysiaGazette