PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara setahun terhadap seorang pesara berusia 72 tahun kerana mencabul kehormatan anak perempuan jirannya pada 2015.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P. Ravithran dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin menolak rayuan Md Ramli Md Nurdin, merupakan bekas pekerja am Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Hakim Yaacob yang mengetuai panel tersebut memutuskan tiada merit dalam rayuannya untuk mewajarkan campur tangan mahkamah itu.
Md Ramli didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara setahun dan didenda RM3,500 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret kerana mencabul mangsa yang ketika itu berusia 10 tahun, di sebuah rumah di Taiping, Perak pada 5.30 petang, 14 Jun 2015.
Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara itu tetapi mengetepikan denda.
Md Ramli yang diwakili peguam Kathan Maruthamuthu berhujah bahawa tindakan anak guamnya hanya menepuk bahu kanak-kanak itu dan menasihatinya agar belajar bersungguh-sungguh tanpa ada niat untuk mencabul kehormatan mangsa.
Justeru, Kathan memohon mahkamah agar mengetepikan sabitan Md Ramli walaupun anak guamnya telah selesai menjalani hukuman penjara setahun dan telah dibebaskan dari penjara awal tahun ini.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim berhujah, Mahkamah Tinggi telah membuat penemuan fakta bahawa pengadu yang merupakan bapa kanak-kanak itu telah melihat dengan jelas apa yang berlaku.
— BERNAMA