Home Seni Hidup Penuntut UTeM rangkul anugerah utama DHL Design Challenge

Penuntut UTeM rangkul anugerah utama DHL Design Challenge

Kedua-dua penuntut UTeM sedang beraksi dan merangkul Anugerah Utama Kategori DHL Design Challenge di Pertandingan Akhir Innovate Malaysia Design Competition (IMDC) 2020, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dua orang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memenangi Anugerah Utama Kategori DHL Design Challenge di Pertandingan Akhir Innovate Malaysia Design Competition (IMDC) 2020 baru-baru ini.

Kejayaan tersebut adalah menerusi projek mereka bertajuk Realtime Courier Route Planning for Customer Centric Delivery yang merupakan aplikasi yang menggabungkan Route Optimizing Algorithm dan Chatbot bagi memaksimumkan produktiviti pemandu dan juga kepercayaan pelanggan.

Kedua-dua penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) UTeM tersebut adalah Teoh Kah Lun dan Sow Chen Wei dengan bimbingan pensyarah Profesor Madya Dr. Choo Yun Huoy dan Dr. Nur Zareen Zulkarnain ini telah berjaya menarik perhatian juri seterusnya melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Pengumuman keputusan tersebut telah dilakukan sehari selepas pertandingan akhir pada 17 Ogos lalu yang dijalankan secara atas talian.

Pasukan dari UTeM telah berjaya mendahului empat kumpulan lain dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Sungai Long, UTAR Kampar, Swinburne dan Universiti Multimedia (MMU).

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim dimaklumkan dengan kejayaan ini dan berharap Tuah UTeM terus menonjol serta beraksi cemerlang.

Katanya, pertandingan seperti IMDC 2020 adalah platform yang baik bagi mencungkil dan mempamerkan bakat TUAH UTeM dan turut mengharumkan nama UTeM di pentas nasional dan dunia.

“Diharapkan agar kemenangan ini turut meneruskan momentum semangat para pelajar UTeM agar terus berinovasi, kreatif dan berdaya saing seiring dengan visi dan misi UTeM,” ujarnya lagi.

Secara umumnya, IMDC 2020 ini menerima penyertaan daripada seramai 367 pasukan dari 28 universiti di seluruh negara.

Mereka menyertai pertandingan dalam pelbagai bidang teknologi dan aplikasi termasuk litar bersepadu, sistem elektronik, IoT, pemodelan 3D, big data, aplikasi mudah alih & awan, automotif, aplikasi pintar, teknologi hijau, bioengineering dan bidang inovasi teknologi yang lain.

Daripada 367 pasukan tersebut hanya 59 pasukan telah disenarai pendek sebagai pasukan finalis untuk bertanding pada pertandingan akhir bagi mendapatkan pelbagai hadiah yang ditawarkan oleh industri dan badan profesional kejuruteraan.- MalaysiaGazette