KUALA LUMPUR – Orang ramai dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diminta untuk segera membuat permohonan program lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pengurangan bayaran balik yang telah bermula sejak 7 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, orang ramai dan PKS tidak seharusnya menunggu ke saat akhir bagi mengelakkan sebarang kerumitan.
Permohonan akan ditutup pada hujung bulan ini.
Ini kerana bank-bank memerlukan masa untuk memproses permohonan berkenaan dalam tempoh satu hingga lima hari untuk pelanggan individu dan tiga hari hingga dua minggu untuk PKS.
“Hasil pertemuan saya dengan wakil-wakil bank tempoh hari, saya dimaklumkan bahawa bank-bank sudah bersedia untuk memberi bantuan dan memproses permohonan orang ramai, walau bagaimanapun, respons yang diterima masih belum seperti yang diharapkan
“Saya menggesa orang ramai untuk segera memberi maklum balas atau pergi ke bank masing-masing untuk mengesahkan pakej bantuan bayaran balik pembiayaan yang ditawarkan.
“Ini penting terutamanya bagi peminjam yang masih memerlukan bantuan pasca moratorium, untuk mengelakkan rekod kredit menjadi buruk selepas September 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan keluar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.
Mohd. Shahar berkata, dalam tempoh dua minggu selepas permohonan dibuka, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu telah diterima dan daripada jumlah itu 109,172 telah pun diluluskan.
Bagi PKS termasuk usahawan mikro pula, sebanyak 5,017 permohonan telah diterima dan 4,300 telah diluluskan.
Katanya, setakat 21 Ogos 2020, pihak bank telah menghubungi kira-kira 1,015,848 peminjam yang merangkumi 908,773 individu, 94,685 PKS dan 12,390 syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan.
Lawati laman web bank masing-masing bagi mendapatkan perincian mengenai program tersebut. – MalaysiaGazette