Home Nasional Anggota tentera, antara lima suspek ditahan milik ganja bernilai RM75,000

Anggota tentera, antara lima suspek ditahan milik ganja bernilai RM75,000

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Superitendan Abdul Latiff Abdul Rahman menunjukkan dadah jenis ganja yang berjaya ditumpaskan di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2020.

SHAH ALAM – Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor menahan lima lelaki dan merampas 30 kilogram ketulan mampat dadah dipercayai ganja bernilai RM75,000 dalam satu serbuan di Petaling Jaya pada 27 Ogos lalu.

Dalam serbuan jam 4.30 petang itu, dua lelaki berumur 25 dan 27 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor sewaktu menaiki kenderaan di kawasan parkir kereta pasar raya di Kelana Jaya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor, Superintenden Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, hasil pemeriksaan terhadap kereta Perodua Myvi dinaiki suspek menemui 30 ketulan mampat dadah disyaki ganja dibalut plastik lutsinar.

“Susulan itu, pihak polis turut menahan tiga lagi suspek di mana kesemuanya dari negeri Pantai Timur untuk tindakan lanjut dan hasil penahanan suspek, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi bernilai 25,000.

“Hasil siasatan mendapati, suspek terbabit dalam kegiatan pengedaran sejak enam bulan lalu dan ganja terbabit diperoleh daripada negeri Pantai Timur.

“Ganja terbabit disyaki untuk pasaran tempatan sekitar Lembah Klang dan jumlah rampasan itu mampu dibekalkan kepada 60,000 penagih dengan penggunaan 0.5 gram sehari,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.

Abdul Latiff berkata, semakan dilakukan terhadap seorang daripada lima suspek terbabit mendapati mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah.

“Hasil saringan awal air kencing didapati tiga suspek berumur 25, 26 dan 27 tahun positif dadah jenis Meth dan Amp.

“Turut ditahan seorang ejen jualan kereta dan anggota tentera berpangkat koperal, masing-masing berusia 24 dan 32 tahun,” katanya.

Katanya lagi, kesemua lima suspek itu telah ditahan reman tujuh hari di bawah Seksyen 117, Kanun Acara Jenayah bermula 28 Ogos lalu hingga 3 September ini.

“Kes ini di klasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. – MalaysiaGazette