KUALA LUMPUR – Pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) kini dalam proses semakan sebelum diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), kata salah seorang penaja kepada parti berkenaan, Datuk Marzuki Yahya.
Bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata RoS tidak mempunyai masalah dengan permohonan tujuh penaja parti itu untuk menubuhkan parti berkenaan.
“Kita telah memeriksa dengan pihak RoS dimaklumkan bahawa proses pemohonan untuk mendaftarkan Parti Pejuang itu masih dalam proses semakan.
“Saya difahamkan ia tidak mempunyai banyak masalah dan saya yakin pihak RoS dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan kita juga berharap kelulusan dapat diberikan dengan secepat mungkin,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, Marzuki berkata, parti yang akan ditubuhkan itu telah membuka satu ‘Borang Tunjuk Minat’ secara dalam talian.
Ia bagi mengumpulkan butiran pemohon yang berminat menyertai parti itu sebagai ahli pada masa depan.
“Bila parti belum diluluskan lagi dia tidak boleh ada borang rasmi. Tetapi atas banyak permintaan maka kita buat pra pendaftaran bermaksud itu borang yang berminat untuk menyertai parti, bukan borang keahlian.
“Itu mungkin kita akan keluarkan dalam masa terdekat.
“Belum diluluskan lagi dan harap semua dapat bersabar dan bila sudah dapat kelulusan nanti kita akan bawa satu era baru dalam negara,” katanya lagi.
Pada 19 Ogos lalu, tujuh pengasas parti Pejuang itu hadir ke ROS untuk mengemukakan permohonan rasmi mendaftarkan parti itu.
Bakal Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berharap RoS dapat meluluskan pendaftaran parti berkenaan secepat mungkin supaya pihaknya boleh terbabit secara langsung dalam proses demokrasi negara ini sebagai sebuah parti politik yang sudah mendaftar.
Selain Marzuki dan Mukhriz, lima lagi penaja parti itu adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad. – MalaysiaGazette