Home Nasional 27 pemilik kediaman di Sungai Pelempas ditawar rumah Selangorku

27 pemilik kediaman di Sungai Pelempas ditawar rumah Selangorku

Ir. Izham Hashim

SHAH ALAM – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling telah mengadakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu terhadap 22 struktur yang dibina di atas rizab Sungai Pelepas.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Ir Izham Hashim berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

“Tindakan itu perlu dilakukan kerana struktur-struktur ini menghalang pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pelempas.

“Tindakan penguatkuasaan ini melibatkan struktur terdiri daripada rumah kediaman, bengkel dan lain-lain,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.

Projek RTB Sungai Pelempas merupakan projek infrastruktur bernilai RM15.3 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Ia bertujuan untuk menangani masalah banjir yang kritikal di Daerah Petaling dengan kekerapan banjir lebih dua kali setahun.

Komponen utama projek ialah menaiktaraf Sungai Pelempas sepanjang 2.1 kilometer dan ia telah bermula pada 13 April 2016 serta sepatutnya disiapkan pada 11 Oktober 2017.

Walau bagaimanapun projek mengalami kelewatan yang serius disebabkan adanya struktur-struktur yang menghalang pelaksanaan projek itu.

Izham juga berkata, sebelum tindakan operasi penguatkuasaan dilakukan, PDT Petaling telah mengeluarkan notis sebanyak tiga kali kepada pemilik struktur supaya mengosongkan tapak.

“Notis telah dikeluarkan pada 9 November 2016, notis kedua pada 30 Disember 2019 serta notis ketiga pada 13 dan 14 Mac 2020,” katanya.

Katanya, Pihak Berkuasa Negeri juga telah beberapa kali membincangkan isu pelaksanaan RTB Sungai Pelempas yang dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 9/2017 pada 8 Mac 2017, MMKN Bil. 34/2018 pada 9 November 2018 dan MMKN Bil. 8/2020.

“MMKN Bil. 8/2020 yang bersidang pada 4 Mac 2020 telah memberi pembayaran ex-gratia kepada pemilik struktur yang terlibat.

“Hasil libat urus yang dibuat oleh PDT Petaling bersama Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Shatiri Mansor dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

“Pihak Berkuasa Negeri pada 10 Disember 2019 juga telah menawarkan pembelian Rumah Selangorku kepada semua 27 orang pemilik struktur kediaman.

“Penduduk yang layak juga ditawarkan oleh Lembaga Zakat Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette