Home Nasional Ahli politik perlu fikir panjang sebelum terajui GLC – SPRM

Ahli politik perlu fikir panjang sebelum terajui GLC – SPRM

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Nampaknya, ahli Parlimen atau mana-mana ahli politik perlu berfikir panjang dan berhati-hati pada masa akan datang.

Ini kerana mereka tidak boleh lagi menjadi ahli lembaga pengarah atau menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan mudah kerana mungkin berdepan risiko pendakwaan.

Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Roslan Mat Nor berkata, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menikmati elaun jawatan yang disandang kerana mereka perlu bertangungjawab atas sebarang pendakwaan membabitkan kakitangannya.

“Mana-mana ahli Parlimen atau ahli politik yang bermimpi untuk menjawat jawatan dalam GLC berfikirlah banyak kali tentang masa depan anda kerana di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (yang berkuatkuasa Jun lalu) sekiranya mana-mana kakitangan terlibat jenayah, dia juga bertanggungjawab dan akan turut berdepan pendakwaan.

“Maka ia adalah mungkin satu norma baharu untuk pengurusan setiap syarikat selepas ini sekiranya anda melihat daripada perspektif positif perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas Forum Anti Rasuah Malaysia ke-2 di sini hari ini.

Roslan berkata, adalah lebih baik mereka ‘bangun dari tidur sekarang’ dan bukan menyesal jika terkesan pada masa depan.

Menurut beliau, ahli politik selepas ini juga tidak boleh  menjawat jawatan dalam GLC semata-mata untuk duduk di syarikat tersebut

“Lebih baik mereka fikir dua tiga kali untuk menerajui atau memegang sebarang jawatan dalam sesebuah syarikat selepas ini kerana perlu bertanggungjawab atas sebarang impliksi undang-undang berkaitan rasuah.

“Mengikut SPRM dan undang-undang liabiliti korporat diwujudkan untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dilaksanakan dengan integriti dan mempromosi amalan pengurusan terbaik di sesebuah organisasi.

“Maka, sekiranya mana-mana kakitangannya terlibat dalam unsur rasuah, denda yang bakal dikenakan adalah tidak melebihi 10 kali ganda jumlah rasuah RM1 juta atau mana-mana yang nilainya lebih tinggi atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya,” tegas beliau.-MalaysiaGazette