Home Nasional Perkeso teliti cara terbaik bantu pekerja kontrak terjejas

Perkeso teliti cara terbaik bantu pekerja kontrak terjejas

Dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah jika terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak benar.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang meneliti cara terbaik untuk kerajaan membantu pekerja-pekerja kontrak yang terjejas untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi.

Sebagai respon kepada artikel Malaysia Gazette bertajuk Bayaran caruman tapi tak dapat manfaat SIP – NUFAM Perkeso menjelaskan, pekerja dalam kontrak perkhidmatan bertempoh yang tidak disambung kontrak apabila tempoh tamat tidak dianggap sebagai kehilangan pekerjaan.

Dengan itu, Perkeso tidak dapat memproses permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mereka kerana mereka tidak memenuhi kelayakan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Bagaimanapun, pekerja-pekerja tersebut layak untuk mendapat bantuan Perkhidmatan Pekerjaan di bawah SIP PERKESO dan digalakkan untuk mendaftar di portal MYFutureJobs (myfuturejobs.gov.my) supaya agensi berkenaan dapat membantu dalam carian dan penempatan pekerjaan.

Ini termasuk program latihan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam mencari kerja baharu.

Menyentuh mengenai caruman SIP yang telah dibayar oleh pekerja-pekerja kontrak tersebut, Perkeso berkata, ianya akan disimpan untuk sebarang tuntutan pada masa akan datang.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan Perkeso hari ini:-

Merujuk kepada artikel bertajuk, “Bayaran Caruman tapi tak dapat manfaat SIP – NUFAM” yang disiarkan Malaysia Gazette pada 2 September 2020, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengambil maklum dan bersimpati dengan nasib yang menimpa kira-kira 500 pekerja kontrak syarikat penerbangan tersebut di mana kontrak perkhidmatan mereka tidak disambung.

Bagi pekerja dalam kontrak perkhidmatan bertempoh di mana kontrak perkhidmatan mereka tidak disambung apabila tempoh kontrak tamat, tidak dianggap sebagai kehilangan pekerjaan (loss of employment). Oleh yang demikian, PERKESO tidak dapat memproses permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mereka kerana mereka tidak memenuhi kelayakan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Walau bagaimanapun, pekerja-pekerja berstatus kontrak ini adalah layak untuk mendapat bantuan Perkhidmatan Pekerjaan di bawah SIP PERKESO. Mereka digalakkan mendaftar di portal MYFutureJobs (myfuturejobs.gov.my) agar PERKESO dapat membantu mereka dalam carian dan penempatan pekerjaan termasuk program latihan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam mencari pekerjaan.

Bagi semua pekerja yang berstatus kontrak di mana caruman yang dibayar tidak digunakan, caruman mereka akan disimpan untuk sebarang tuntutan pada masa akan datang dalam kitaran kerja mereka.

Memandangkan situasi ekonomi dan pasaran pekerjaan yang masih belum pulih sepenuhnya dalam tempoh yang dijangka sehingga akhir tahun ini, PERKESO sedang meneliti cara terbaik bagaimana Kerajaan boleh turut membantu pekerja-pekerja kontrak yang terjejas untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi.

Bagi penyelesaian jangka panjang, PERKESO sedang meneliti peruntukan di dalam Akta 800 bagi tujuan penambahbaikan faedah kehilangan pekerjaan untuk pekerja-pekerja kontrak yang perkhidmatan mereka tidak disambung.

Selain itu, Pejabat SIP PERKESO juga aktif menganjurkan siri jelajah Karnival PenjanaKerjaya ke seluruh negara bagi membantu orang berinsurans PERKESO dan pencari kerja mendapat pekerjaan yang sesuai.

Karnival Kerjaya yang akan diadakan dalam masa terdekat ini adalah di Batang Kali, Selangor pada 12 September 2020 dan di Seremban, Negeri Sembilan pada 19 September 2020.

Di samping itu, temuduga terbuka untuk semua rakyat Malaysia dianjurkan di pejabat-pejabat PERKESO di seluruh negara secara berterusan.- MalaysiaGazette