Home Dunia Letupan Beirut: Anggota penyelamat gali runtuhan cari mangsa, kesan isyarat nadi, nafas

Letupan Beirut: Anggota penyelamat gali runtuhan cari mangsa, kesan isyarat nadi, nafas

BEIRUT – Anggota penyelamat di Beirut menggali runtuhan bangunan dengan menggunakan tangan selepas mengesan terdapat tanda-tanda mangsa masih hidup di bawah runtuhan selepas sebulan letupan kuat menggegarkan ibu negara Lubnan.

Sekumpulan pekerja mengeluarkan ketulan konkrit dan batu bata yang telah musnah ketika mereka menggali kawasan perumahan Gemmayze selepas anggota penyelamat berkata semalam bahawa mereka mengesan isyarat nadi dan nafas, lapor Reuters.

Pada 4 Ogos lalu, letupan berhampiran pelabuhan Beirut berlaku disebabkan simpanan nitrat amonia yang banyak menyebabkan kira-kira 190 terbunuh dan 6,000 lagi cedera.

Sebuah kren dibawa ke kawasan pencarian bagi mengangkat gelegar keluli dan runtuhan lain.

Para penduduk berkumpulan di kawasan berhampiran dan berharap seseorang akan ditemui manakala terdapat dalam kalangan mereka menyatakan kekecewaan bahawa tidak banyak yang dilakukan sebelum ini untuk mencari mangsa yang selamat.

“Berapa ramai akan selamat jika terdapat siap siaga operasi menyelamat?, kata Chadem yang berusia 28 tahun.

Letupan tersebut telah memusnahkan ibu negara, malah kerosakan berlaku hingga ke daerah Gemmayze yang menempatkan bangunan lama dan tradisional, yang mana ada antaranya runtuh berikutan gegaran itu.

Pasukan penyelamat meliputi sukarelawan dari Chile, Lubnan dan anggota pertahan awam. – MalaysiaGazette