Home Nasional Sebuah premis disyaki cemar Sungai Selangor digantung operasi 14 hari

Sebuah premis disyaki cemar Sungai Selangor digantung operasi 14 hari

Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. foto MOHD SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Siasatan pihak berkuasa agensi air di bawah Kementerian Alam Sekitar mengesyaki sebuah premis menjadi punca pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kini sampel bahan bukti telah diperolehi untuk dianalisis.

“Pihak berkuasa sedang menungggu hasil analisis sampel bahan bukti untuk tindakan selanjutnya dan premis tersebut telah disita dan digantung operasi selama dua minggu sehingga menunggu hasil siasatan insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaini Ujang, siasatan itu dilakukan selepas kementerian itu menerima laporan tentang gangguan bekalan air yang dibekalkan oleh empat buah loji utama Sungai Selangor, iaitu Loji Rantau Panjang SSP 1, SSP2 dan SSP 3 sejak Khamis, 3 September 2020.

Tambah beliau, insiden berkenaan menyebabkan gangguan bekalan air kepada hampir 1.2 juta akaun pengguna air di Selangor dan Kuala Lumpur, bersamaan 5 juta pengguna.

Zaini berkata, sekiranya wujud dan bahan pencemar dapat disahkan dalam insiden itu, pihak penguatkuasa akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 )Akta 655).

Menurut beliau, kerja-kerja remediasi tapak yang mengandungi bahan cemar juga akan dilaksanakan bermula hari ini untuk memastikan tidak ada bahan pencemaran yang masih bertompok ditebing sungai dan aliran sungai.

Justeru katanya, segala kos kerja-kerja remediasi itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang mengakibatkan berlakunya pencemaran air di sungai tersebut. – MalaysiaGazette