KUALA LUMPUR – Presiden Parti Cinta Malaysia (PCS), Datuk Seri Anifah Aman menghargai serta berterima kasih kepada petugas barisan hadapan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera (ATM).
Menurutnya, mereka bukan sahaja menyumbang bakti kepada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira apa jua keadaan.
Malah bekas Menteri Luar itu berkata, peranan petugas barisan hadapan bukan sahaja dilihat ketika konflik serangan luar tetapi berperanan penting dalam proses pilihan raya negeri Sabah yang bakal diadakan tatkala negara masih berjuang membendung penularan Covid-19.
Katanya, tanpa petugas barisan hadapan, sudah tentu pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada hujung bulan ini sukar diadakan dengan baik.
“Sebenarnya ucapan terima kasih saya tidak cukup, peranan serta jasa yang telah dilakukan selama ini khasnya bagi kami di Sabah. Hakikatnya saya hilang kata-kata untuk luahkan penghargaan ini.
“PCS akan sentiasa menghormati dan mengenang segala jasa petugas barisan hadapan negara yang pernah berkhidmat kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Anifah berkata, PCS meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap petugas barisan hadapan negara dan akan mematuhi apa sahaja arahan mahupun prosedur semasa PRN.
“Petugas barisan hadapan negara dan masyarakat berpisah tiada. Selamat menunaikan tanggungjawab pengundi awal wira negara! Bah jangan lupa undi PCS,” katanya.
Dalam pada itu, Anifah berkata, petugas barisan hadapan sentiasa menjaga keselamatan dan kedaulatan Sabah daripada ancaman luar dan dalam negara.
“Buktinya, peristiwa pencerobohan oleh sekumpulan penganas dari selatan Filipina, petugas barisan hadapan ini lah yang bertanggungjawab menangani isu tersebut sehingga menyebabkan beberapa anggota keselamatan terkorban,” ujarnya. – MalaysiaGazette