Home Nasional Bekas pengarah Kemas mengaku tidak bersalah lulus kertas kerja palsu

Bekas pengarah Kemas mengaku tidak bersalah lulus kertas kerja palsu

Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meluluskan permohonan kertas kerja palsu berjumlah RM15,450, Julai tahun lepas.

Tertuduh, Anuar Mat Zin, 46, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pengarah Kemas, Wisma Persekutuan Kota Bharu di sini.

Dia didakwa telah meluluskan borang permohonan dan justifikasi yang mengandungi butiran palsu dalam kertas kerja Bengkel Penyelarasan Desa Harapan Kemas Kelantan 2019 dengan niat memperdayakan Ketua Pengarah Kemas.

Bengkel dengan kos RM15,450 sepatutnya dilaksanakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai 2019 di sebuah hotel di Gua Musang, namun hanya dijalankan sehari iaitu pada 25 Julai 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Zaman Mohd Noor, membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.

Tarikh semula kes ditetapkan pada 7 Okt depan.

— BERNAMA