Home Nasional Keterangan Mohd Hazem khabar angin, tak boleh pakai – Shafee

Keterangan Mohd Hazem khabar angin, tak boleh pakai – Shafee

KUALA LUMPUR – Ada keterangan bertulis saksi ke-10 perbicaraan rasuah Datuk Seri Najib Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikhuatiri hanya khabar angin serta tidak boleh digunakan.

Itu hujah peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah berhubung saksi terbaru iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman hari ini.

Sambil memetik beberapa perenggan dalam keterangan Mohd Hazem yang mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah memberitahunya 1MDB sebenarnya telah ditubuhkan untuk mengumpul dana UMNO yang mana Najib adalah presiden ketika itu.

Kata Muhammad Shafee dalam nada tinggi, seandainya Jho Low tidak melalui pemeriksaan balas dalam perbicaraan, keterangan Mohd Hazem akan menjadi tidak lebih daripada khabar angin sahaja.

“Sebenarnya 24 muka surat daripada 100 muka surat testimoni Mohd Hazem ini boleh dianggap tidak lebih daripada khabar angin (hearsay) Yang Arif. Kandungan itu seolah-olah mendakwa kononnya anak guam saya tahu tentang agenda Jho Low.

“Keterangan saksi ini seperti kononnya Najib sedia maklum dengan apa yang hendak Jho Low hendak lakukan.

“Tetapi selagi kita tidak ada Jho Low untuk mengesahkan apa yang saksi ini sedang dakwa, bagaimanakah kita boleh terima ini sebagai bukti? Ini hanyalah khabar angin, cakap-cakap sahaja,” hujahnya.

Muhammad Shafee turut mengingatkan Collin supaya tidak bertindak ‘lambat’ memandangkan sebelum ini, saksi terdahulu, bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi juga banyak memberikan keterangan seakan-akan hearsay.

“Kami juga akan mengemukakan permohonan bagi menggugurkan beberapa baris perenggan dalam keterangan saksi ini nanti. Ini adalah khabar angin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pula berhujah mengatakan sebenarnya keterangan saksi agak ‘bersamaan’ dengan tingkah laku Jho Low dan Najib.

“Seandainya ada perenggan cuba digugurkan oleh pembelaan, mungkin cerita sebenar penyelewengan 1MDB ini tidak di ceritakan dengan jelas dan betul.

“Ini bukanlah khabar angin. Kita perlu dengar kesemua yang cuba diceritakan oleh saksi supaya tahu apakah pengakhirannya dan mengapa perbuatan itu dilakukan,” ujarnya.

Collin kemudian memberitahu Ahmad Akram sekiranya keterangan saksi lain seperti Jho Low dan juga Jasmine Loo (bekas Penasihat Undang-Undang 1MDB) tidak dapat dipanggil, mungkin dakwaan Mohd Hazem itu memang sekadar khabar angin.

Namun kata Ahmad Akram, pihaknya juga mempunyai bukti perbualan e mel antara Jho Low dan saksi yang akan ‘dipersembahkan’ di mahkamah kelak.

Collin kemudian menangguhkan prosiding sehingga 2 petang esok dan akan memberikan keputusan tentang perkara itu kemudian.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Selain itu, beliau juga berhadapan dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. … akta keterangan.. bukti, soalan balas, hanya pada kertas.. email, cairr… apa daa ., nnti ckp no harm to try, lau kena .. kena lah, lau tak pusing lagi..

Comments are closed.