Home Nasional Veveonah hanya buat ‘drama’ untuk dapat perhatian – Rahim

Veveonah hanya buat ‘drama’ untuk dapat perhatian – Rahim

Veveonah Mosibin

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan 1 yang juga Ahli Parlimen Kudat, Datuk Rahim Bakri mendakwa isu yang didakwa Veveonah Mosibin adalah palsu.

Malah beliau menganggap pelajar terbabit hanya ‘membuat drama’ bagi mendapat perhatian.

“Saya telah meminta pegawai saya, Ambang Sobul yang berasal dari Kampung Bilangau Kecil yang bersebelahan dengan Kampung Sepatalang di Pitas.

“Hasil siasatan yang dilakukan, beliau membuat laporan kepada saya bahawa ibu bapa pelajar ini sudah terlalu tidak tinggal di Sepatalang kerana bapanya bekerja di KPD (Koperasi Pembangunan Desa) di pekan Pitas.

“Sebenarnya dia tidak ada rumah di Kampung Sepatalang. Macam mana pelajar ini boleh mendakwa dia belajar di atas pokok di kampung itu sedangkan dia sebenarnya tinggal di pekan,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Rahim berkata, beliau juga menghubungi dekan fakulti dan pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sama ada peperiksaan secara online diadakan atau tidak.

Katanya, hasil komunikasi beliau dengan pihak UMS mendapati belum ada peperiksaan akhir diadakan secara online.

“Hanya satu kuliah biasa yang diadakan secara online, sebenarnya setakat ini. Belum ada peperiksaan akhir yang diadakan secara online,” menurut UMS seperti dipaparkan di Facebook beliau.

Rahim juga berkata, mungkin ada motif tertentu di sebalik penerbitan video yang dimuat naik dalam Youtube dan ditonton di seluruh dunia itu.

“Setelah kita mengguna 4G, liputan internet menjadi semakin luas, lebih baik berbanding beberapa tahun lalu yang menggunakan ‘wireless village’.

“Tapi ini tidak bererti tiada ‘blind spot’, terutama di kawasan berbukit, hatta di KL (Kuala Lumpur) pun ada masalah, terutama tempat terlindung atau kemudahan yang menjadi mangsa vandalisme.

“Apa perlu pelajar itu membahayakan diri memanjat pokok dan dimasukkan dalam video, sedangkan dia ada pilihan hanya berusaha sedikit ke pekan Pitas, sama ada menumpang di sekolah atau tempat awam yang mempunyai liputan internet yang baik.

“Bagaimanapun saya tidak menyalahkan Veveonah sebagai anak muda yang belum berpengalaman, kelemahan dan kesilapan pasti berlaku dalam hidup,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Dewan Negara juga mendakwa perbuatan Vebeonah sekadar mahu meraih bilangan pengikut media sosialnya semata-mata.

Beliau berkata, hasil siasatan kementeriannya mendapati gadis itu tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

Bagaimanapun selepas itu Zahidi mengakui dirinya mendapat maklumat tidak tepat dan meminta maaf kepada Veveonah.

Pada awal Jun, Veveonah yang merupakan pelajar di UMS memuatnaik rakaman video beliau membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan universiti dengan melayari internet dari atas pokok sehingga tular di media sosial.- MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Pulau Balambangan berpotensi sebagai eko tourism kini yg rakus dimusnahkan lombong pasir macam mana MP Kudat?

  2. Rumah aku kt Telok Panglima Garang.. Kira kawasan sekitar bandar… Pun ada kena tempias blind spot… Internet mcm siput… Kadang kadang tk dapat.. Langsung.

Comments are closed.