KUALA LUMPUR- Empat kluster yang berfungsi untuk mengenengahkan isu serta cadangan penyelesaian rantaian sistem makanan dan pelaksananaan strategi yang telah dikenal pasti akan diwujudkan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, penubuhan empat kluster tersebut adalah untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan bagi megoptimumkan sumber sedia ada seperti cadangan Kerangka Sekuriti Makanan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) akan diwujudkan.
Kluster yang diletakkan di bawah tiga kementerian dan satu agensi itu adalah hasil mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, hari ini.
Jawatankuasa yang ditubuhkan susulan impak Covid-19 itu bertanggungjawab meneliti isu-isu berkaitan sekuriti makanan secara menyeluruh meliputi aspek rantaian bekalan, tenaga kerja, aplikasi teknologi, sumber kewangan, pelaburan, guna tanah dan infrastruktur.
Sebanyak lima kertas kerja merangkumi strategi untuk memperkukuh sektor agromakanan negara berlandaskan peningkatan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dan pengurangan kebergantungan kepada import telah dibincangkan.
Empat kluster tersebut adalah:-
i) Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan;
ii) Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;
iii) Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan Malaysia; dan
iv) Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara.
“Sementara itu, Jawatankuasa Kabinet itu diharapkan dapat memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agromakanan ke tahap yang lebih baik, sekaligus memastikan bekalan makanan terjamin,” kata kenyataan tersebut.
Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh 11 Ahli Tetap yang terdiri daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan; Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Menteri Kesihatan; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Menteri Pengangkutan; Menteri Pembangunan Luar Bandar; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri TugasTugas Khas; dan Gabenor Bank Negara yang merupakan ahli jemputan.
Jawatankuasa itu dibantu oleh Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang menyelaras cadangan bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara serta mengawal selia pelaksanaan keputusan dan arahan Jawatankuasa Kabinet. – MalaysiaGazette