KUALA LUMPUR – Pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa terbuka dan memberikan kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu siasatan kematian seorang anggota tentera prebet meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di sebuah kem tentera di Batu Pahat Johor.
Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa melaksanakan siasatan membabitkan kejadian pada 28 Ogos lalu di Kem Majidee.
“TDM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota jika terlibat dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang,” kata TDM dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru menurut TDM, mangsa telah melapor ke Balai Pengawal 10 RAMD daripada Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) pada jam 6 petang 28 Ogos lalu dan seterusnya telah diletakkan dalam Tangkapan Longgar di Bilik Bujang Kompeni A sementara menunggu dokumentasi dan dibacakan pertuduhan oleh Pegawai Memerintah.
Pada 28 Ogos lalu, lebih kurang jam 11.50 malam, anggota telah didapati jatuh dari aras tiga bangunan bilik penginapannya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Seterusnya anggota telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Johor untuk rawatan.
Susulan dari kejadian tersebut, pasukan 10 RAMD telah membuat laporan Polis pada 29 Ogos lalu jam 9.53 pagi di Balai Polis Batu Pahat.
Manakala, pihak keluarga anggota turut membuat laporan polis di IPK Ipoh, Perak pada 1 September lalu atas dakwaan anggota telah didera sebelum ini.
Pada 6 September lalu sekitar jam 2 petang, anggota telah disahkan meninggal dunia di HSNI, Batu Pahat, Johor dan hasil bedah siasat oleh Doktor Pakar dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 7 September lalu dan mendapati tiada kecederaan fizikal lain dalam badan jenazah yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan penderaan.
“Susulan dengan keputusan tersebut, Pakar Forensik Bedah Siasat dan PDRM telah melawat lokasi kejadian di 10 RAMD pada 7 September lalu jam 4.30 petang untuk mengesahkan laporan post morterm adalah konsisten dengan situasi tempat kejadian,” jelas kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette