KUANTAN – Seorang kontraktor dan pemandunya maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 67 Jalan Kuantan- Segamat di Pekan dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata kejadian pada 11.30 malam itu menyebabkan pemandu kenderaan Toyota Fortuner Muhammad Syauqi Azmi, 32, dan penumpang Ahmad Azhar Abdul Wahab, 58, maut di tempat kejadian.
Muhammad Syauqi yang berasal dari Alor Setar, Kedah manakala Ahmad Azhar beralamat di Raub, Pahang.
“Impak pertembungan itu menyebabkan Toyota Fortuner berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke kanan jalan laluan menghala ke Segamat,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Razli berkata pemandu Proton Wira yang berasal dari Runchang, Pekan pula cedera di tangan dan belakang badan.
Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA