KUALA LUMPUR – “Sudah 12 tahun diberi peluang kepada kilang haram. Hendak bagi berapa tahun lagi?”
Itu pertanyaan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan membidas sikap kerajaan Selangor ekoran keputusan memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang haram untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.
Menurutnya, rakyat mahukan tindakan dan kerajaan negeri ada banyak kuasa maka sewajarnya jangan tunggu ada krisis air sekali lagi baru nak kelam kabut.
“Tempoh hari saya mengesyorkan untuk tidak mempolitikkan isu air kerana masing-masing agensi negeri dan persekutuan ada tanggungjawab dan rakyat tidak berminat untuk bermainan ‘game’ siapa salah siapa betul kerana hanya mahukan penyelesaian.
“Cuma, kenyataan MB Selangor semalam menimbulkan kekhuatiran adakah kerajaan negeri serius mahu mencari jalan penyelesaian,” ujarnya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut melalui laman facebooknya hari ini.
Beliau berkata, selepas krisis bekalan air yang baru sahaja ke arah kembali ke normal, mengapa perlu tunggu sehingga hujung tahun.
“Setelah perit yang dilalui, mengapa tidak tindakan tegas diambil sekarang? Ini bukan kes penjaja kecil yang hendak cuba dibantu ke arah pemutihan atas pertimbangan ehsan dan membantu ekonomi mikro penjaja. Ini kilang-kilang. Kilang haram. Yang mana di kalangan mereka mencemar sungai dan mengganggu bekalan air, menyebabkan pelbagai kesusahan dan kerugian kepada rakyat.
“Sejak 2008? Sudah 12 tahun, dan sudah berkali-kali krisis air di Selangor – Kerajaan negeri yang ada kuasa untuk mengambil tindakan, masih mahu beri peluang sehingga tamat 2020?
“Kalau keadaan mendesak?? 1.2 juta akaun pengguna air terkesan teruk hanya beberapa hari lalu disebabkan akitiviti kilang yang tidak dipantau, walaupun ada sejarah pencemaran. Tak cukupkah bukti betapa mendesaknya isu pencemaran dan gangguan ini? soalnya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Selangor beri peluang pemilik tanah, kilang haram buat proses pemutihan hingga hujung tahun ini